Thursday, 7 March 2013

lidi dan tapak tangan.




Kisah Imam Syafie Menuntut Ilmu

Imam Shafie merupakan salah seorang Imam Mazhab yang empat. Beliau mempunyai ketajaman akal dan kecerdikan yang luar biasa. Beliau telah menghafaz al-Quran seawal umur 9 tahun lagi. Setahun kemudian pula, beliau menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Lantaran itu, pada satu hari beliau meminta izin daripada ibunya untuk keluar menuntut ilmu ke Madinah. Ia merupakan kali pertama Imam Shafie keluar daripada tempat kelahirannya, Makkah dan mengembara untuk meluaskan ilmu.

Apabila tiba di Madinah, beliau terus menuju ke Masjid Nabawi dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Setelah selesai solat, beliau terpandang satu Majlis ilmu yang disampaikan oleh seseorang yang sangat hebat dalam masjid tersebut. Orang tersebut sedang bersyarah di hadapan begitu ramai anak-anak muda yang kesemuanya khusyuk mendengarnya. Orang itu ialah Imam Malik yang sedang mengajar murid-muridnya tentang hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Dengan langkah yang tertib, Imam Shafie terus menuju ke tempat Imam Malik dan duduk bersama murid-murid beliau. Imam Shafie lantas mengambil sebatang lidi lalu membasahkannya dengan air liur. Beliau menulis segala apa yang diajar oleh Imam Malik tersebut di atas tapak tangannya. Tanpa di sedari, Imam Malik memerhati segala tingkah lakunya.

Selesai pengajian, Imam Malik pun memanggil Imam Shafie untuk menegur beliau. Sangkanya Imam Shafie berbuat perkara kurang sopan ketika belajar. Imam Malik bertanya kepada Imam Shafie, “Apakah kamu berasal dari Makkah”. Jawab Imam Shafie, “Benar”. Imam Malik kemudian bertanya, “Mengapakah engkau bermain-main dengan lidi dan air liurmu semasa aku sedang mengajar?”. Jawab Imam Shafie, “Maaf tuan. Sebenarnya saya tidak bermain-main. Oleh kerana saya tidak ada kertas dan pena, segala yang tuan ajar saya tulis di atas tapak tangan saya dengan menggunakan lidi dan air liur untuk saya menghafalnya”.

Apabila Imam Malik membelek-belek tangan Imam Shafie, beliau tidak menjumpai sebarang tulisan pun. Beliau terus berkata, “Tetapi kenapa tapak tangan engkau ni kosong sahaja”.

Kata Imam Shafie, “Benar tuan. Namun demikian tuan, saya telah pun menghafal semua hadis-hadis yang tuan riwayatkan itu”.

Setelah beliau disuruh membaca apa yang dihafalnya, Imam Malik mendapati tidak ada satu hadis yang tinggal daripada 20 hadis yang diajar hari itu. Perkara yang aneh ini belum pernah terjadi sebelumnya. Imam Malik begitu tertarik hati dengan kebijaksanaannya. Semenjak peristiwa itu, Imam Shafie dijemput untuk menetap di rumah Imam Malik sebagai tetamu sekali gus menuntut ilmu dengan Imam Malik. Selama 18 bulan Imam Shafie berguru dengan Imam Malik. Hatinya yang terang memudahkan beliau memahami dan menghafal kitab al-Muwatta’. Sehingga akhirnya, murid kesayangan Imam Malik ini sering diberi penghormatan bersyarah dan mengajar murid-murid yang lain.



diculik jin.





Khurafah  adalah seorang lelaki arab dari puak Bani Uzrah

Beliau telah diculik oleh 3 ekor  jin dan diletakkan dalam satu kurungan. Namun berlaku perbalahan di antara 3 ekor  jin tersebut tentang apa hendak lakukan kepada mangsa culik mereka tadi.

Jin pertama berpendapat dibunuh sahaja khurafat. Jin kedua mencadangkan agar lelaki itu dijadikan hamba manakala jin ketiga mahu khurafat dipulangkan sahaja  kepada kaumnya.

Semasa mereka berbalah datang pula jin keempat dan mennyatakan hasratnya untuk berkongsi sama dengan ketiga-tiga jin itu. Pada mulanya mereka tidak setuju tapi setelah jin keempat menawarkan untuk menceritakan satu kisah pelik maka mereka bertiga pun bersetuju.

Berkata jin keempat :

Ketika aku masih remaja, aku bersama tujuh orang saudaraku dalam perjalanan untuk meminang sepupu kami. Kami pergi dengan membawa seekor anak lembu sebagai tanda pinangan kami. Akan tetapi ketika kami sedang duduk berehat, lembu ini telah terlepas. Pak cik ku telah memberi amanat bahawa barangsiapa dapat mengembalikan lembu itu maka dia yang layak  mengahwini anak perempuannya. Namun hingga  usiaku menjangkau 70 tahun aku masih tidak mampu menangkapnya. Setiap kali aku berhenti nescaya lembu ini berhenti sama dan apabila aku bergerak maka lembu ini segera melarikan diri.

Kemudia kata jin keempat : “Adakah aku boleh berkongsi menikmati darah manusia ini?”.

Mendengar kisah pelik tadi ketiga-tiga ekor jin itu setuju untuk berkongsi.

Akan tetapi mereka masih lagi berbalah apa yang patut mereka lakukan pada mangsa culik mereka hinggalah datang jin kelima.

Jin kelima itu pun berminat untuk berkongsi sama menikmati darah manusia tadi. Dia berkata : Adakah jika aku menceritakan sebuah kisah pelik kamu setuju berkongsi darah manusia ini bersamaku?.
Keempat-empat jin itu berkata :” Ya kami setuju”.

Jin kelima mula menceritakan kisahnya :

Aku hidup dalam keadaan sangat dhoif sekali. Kemudian aku meninggalkan kediamanku dan cuba merantau ke tempat lain. Hinggalah aku sampai ke sebuah perigi di tengah-tengah padang pasir. Aku terlalu dahaga dan turun ke dalam perigi tersebut. Semasa aku turun aku dengar suara menjerit dari atas perigi  seolah melarangku dari minum air perigi. Aku naik ke atas perigi tetapi tidak melihat sesiapa pun. Aku turun semula ke dalam perigi dan begitulah kali kedua dan ketiga aku dengar suara menjerit melarang tetapi bila aku naik ke atas perigi aku tidak melihat sesiapa pun berada di atas perigi tersebut.

Kali ketiga aku terus minum air di dalam perigi walaupun ada suara menjerit kepadaku. Kemudian aku mendengar suara itu berdoa : Ya Allah jika sesiapa di bawah perigi ini lelaki engkau jadikan dia perempuan dan jika dia perempuan engkau jadikanlah dia lelaki”.

Akhirnya aku menjadi jin perempuan dan meneruskan perjalananku hingga sampai sebuah bandar. Di sana aku berkahwin dan melahirkan dua orang anak.

Hingga pada suatu hari aku merasa rindu ke pada kampung asalku dan pulang mengikut jalan yang sama. Ketika sampai ke perigi aku pun turun untuk mengambil airnya. Akan tetapi perkara yang sama berlaku. Aku dengar ada seorang menjerit dari atas perigi. Apabila aku naik , tiada siapa di atas perigi itu. Akhirnya kali ketiga aku turun aku terus minum air tanpa mempedulikan amaran suara tadi. Setelah aku minum air perigi, aku dengar ada suara berdoa : Ya Allah jika sesiapadi bawah perigi ini lelaki engkau jadikan dia perempuan dan jika dia perempuan engkau jadikanlah dia lelaki”

Kemudian aku kembali ke tempat asalku dengan jantina asalku iaitu jin lelaki. Di kampungku aku bernikah dan mendapat dua orang anak.

Mendengar kisah jin kelima mereka berkata : "Pelik sungguh kisah kamu dan bolehlah kamu berkongsi dengan kami darah manusia ini”.
  
Mereka kemudian kembali berbalah tentang manusia tadi hinggalah datang jin yang keenam yang sedang menunggang seekor baghal bersama dengan seorang hambanya yang juga sedang menaiki seekor baghal lain.

Jin keenam berkata : aku ada satu kisah pelik untuk aku ceritakan pada kamu semua.

Aku sebenarnya adalah anak kepada salah seorang raja jin. Akan tetapi setelah ayahku mati , ibuku telah berlaku curang dengan seorang hambanya. Apabila hambaku yang sedang menaiki baghal ini mengetahui kecurangan ibuku dengan hambanya, ibuku dengan hambanya cuba untuk menyihir aku dan hambaku ini. Akan tetapi kami berjaya membuat helah dan lepas dari sihir. Bahkan ibuku terkena sumpah dan bertukar menjadi baghal yang aku tunggang ini.

Kemudian jin keenam melontarkan soalan kepada baghal yang dinaikinya : Adakah benar kisahku ini?”.

Baghal itu mengangguk kepalanya dan kelihatan air mengalir dari matanya.

“Hamba ibuku pula bertukar kepada baghal yang sedang dinaiki oleh hambaku ini, adakah benar wahai baghal? “ Kata jin keenam sambil menoleh kepada baghal yang dinaiki hambanya.

Bahgal yang dinaiki oleh hamba jin keenam  itu mengangguk sambil bergenangan air matanya.


Setelah itu semakin lama semakin ramai jin-jin lain yang datang dan menceritakan kisah-kisah yang pelik dan akhirnya mereka bersepakat untuk melepaskan Khurafat.

Apabila Khurafat sampai kepada kaumnya dia menceritaka segala-galanya apa yang dialamai dan didengarinya. Aakhirnya tersebarlah kisah-kisah ini dan dikaitkan segala kisah khayalan kepada kisah khurafat.

Dari Aisyah radiallahuanha berkata :

Pada suatu hari Nabi menceritakan suatu kisah kepada isteri-isterinya. Salah seorang isterinya berkata : "Ini satu kisah khurafat.

Maka berkata Nabi : Adakah kamu tahu apa itu khurafat?'

Khurafat adalah seorang lelaki dari bani uzrah yang telah diculik oleh jin dalam tempoh yang lama kemudian beliau dilepaskan kepada manusia. Maka berceritalah khurafat tentang apa yang beliau lihat dari kisah-kisah yang pelik-pelik. Maka kemudian berkatalah orang setelah itu : Ini adalah kisah khurafat".

Saturday, 2 March 2013

surat jemputan ke majlis.




Kerajaan Bani Abbasiyyah ialah nama yang diberi bagi Khalifah Baghdad iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Kerajaan ini merampas kuasa pada tahun 750 selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Ummaiyyah dalam medan peperangan. Kerajaan ini berkembang selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki yang mereka cipta. Kerajaan ini akhirnya berakhir pada tahun 1258 selepas Hulagu Khan iaitu seorang panglima tentera Mongol menghancurkan Baghdad.

 Sewaktu menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah, dia telah mengarahkan seorang Menterinya untuk mengutus surat jemputan kepada rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya. Dalam majlis tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid dengan jamuan yang lazat-lazat. Harun Al Rashid juga menghadiahkan kepada mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Antara yang dijemput ialah Hasan Al Basri. 

 Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir. Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan. Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya. 

 Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?

 Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal. 

 Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ?

 Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah.

 Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut. Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.

 Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya. 

 Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Sang Menteri pun segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana.

 Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut terus berjalan menuju ke pintu madrasah.Hassan Al Basri, sewaktu terpandang Menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci. 

 Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri

Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ.

 Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri

Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2. 

Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga berasa kehairanan.

 Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.

 Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.

 Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri.

 Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah. 

Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam Menteri tersebut.

Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari? 

 Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini. 

 Jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri. Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya.Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya.

 Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya menyampaikan surat Tuannya.

 Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.

 Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca. Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.

 Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau dengan hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok hari untuk majlis ini. 
 Sekian.

 Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya. 

 Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya.

Salam, 
Harun,
Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan mungkar mu ? 

Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi membiayai majlis peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung. Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?"

 Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.

 Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan. Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ? Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan persahabatan ku dengan mu !!!
 Sekian. Hassan Al Basri 

 Tersentuh hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada Menteri untuk dikembalikan kepada Harun Al Rashid.

 Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.

 Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya menjadi rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan. Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang mengikutinya. Lalu bekatalah Menteri tersebut kepada para pedagang di pasar itu.

 Menteri : Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana. Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah.

 Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka. 

Pedagang : Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?

Menteri : Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya amat murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi.

Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri. Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan pakaiannya yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri. 

Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?

 Menteri : Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri, aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu. Kerana selepas ini, aku akan mengikuti tuan ku yang baru, iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul Nya.

 Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.Harun Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al BAsri telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis. Tangisan keinsafan. 

 Di beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan terus menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.


bayarlah dahulu sebelum masuk !






Suatu hari Ibrahim bin Adham ingin membuang air kecil, lalu dia pun pergi ke tandas awam. Apabila dia ingin masuk ke dalam, seorang lelaki penjaga tandas menegurnya, “Wahai orang tua, bayarlah dulu sebelum masuk.”
Mendengarkan sapaan lelaki itu, air mata Ibrahim bin Adham pun bercucuran keluar dari matanya.
Lelaki tadi terkejut dan berkata, “Wahai orang tua, andai kata kamu tiada wang untuk dibayar, masuklah secara percuma. Janganlah menangis kerana ini.”
Ibrahim bin Adham menjawab, “Wahai pemuda, aku menangis bukan kerana aku tiada duit tetapi aku terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki, bagaimana pula dengan syurga Allah? Berapakah bayaran yang harus aku sediakan untuk masuk ke dalamnya?


keputusan daya usaha.





Beberapa ekor lalat nampak terbang berpesta di atas sebuah tong sampah di depan sebuah rumah. Suatu ketika, anak pemilik rumah keluar dan tidak menutup kembali pintu rumah. Kemudian nampak seekor lalat bergegas terbang memasuki rumah itu. Si lalat langsung menuju sebuah meja makan yang penuh dengan makanan lazat.

“Saya bosan dengan sampah-sampah itu, ini saatnya menikmati makanan segar,” katanya. Setelah kenyang, si lalat bergegas ingin keluar dan terbang menuju pintu saat dia masuk, namun ternyata pintu kaca itu telah terutup rapat. Si lalat hinggap sesaat di kaca pintu memandangi kawan-kawannya yang melambai-lambaikan tangannya seolah meminta agar dia bergabung kembali dengan mereka.
Si lalat pun terbang di sekitar kaca, sesekali melompat dan menerjang kaca itu, dengan tak kenal menyerah si lalat mencoba keluar dari pintu kaca. Lalat itu merayap mengelilingi kaca dari atas ke bawah dan dari kiri ke kanan bolak-balik, demikian terus dan terus berulang-ulang. Hari makin petang, si lalat itu nampak kelelahan dan kelaparan. Esok paginya, nampak lalat itu terkulai dan terkapar di lantai.

Tak jauh dari tempat itu, nampak serombongan semut merah berjalan beriringan keluar dari sarangnya untuk mencari makan. Dan ketika menjumpai lalat yang tak berdaya itu, serentak mereka mengerumuni dan beramai-ramai menggigit tubuh lalat itu hingga mati. Kawanan semut itu pun beramai-ramai mengangkut bangkai lalat yang malang itu menuju sarang mereka.
Dalam perjalanan, seekor semut kecil bertanya kepada rakannya yang lebih tua, “Ada apa dengan lalat ini? Mengapa dia tenat?” “Oh.., itu sering terjadi, ada saja lalat yang mati sia-sia seperti ini. Sebenarnya mereka ini telah berusaha, dia sungguh-sungguh telah berjuang keras berusaha keluar dari pintu kaca itu. Namun ketika tak juga menemukan jalan keluar, dia frustasi dan kelelahan hingga akhirnya jatuh dan menjadi menu makan malam kita.”

Semut kecil itu nampak terangguk-angguk, namun masih tidak berpuas hati dan bertanya lagi, “Aku masih tidak mengerti, bukannya lalat itu sudah berusaha keras? Kenapa tidak berhasil?”
Masih sambil berjalan dan memikul bangkai lalat, semut tua itu menjawab, “Lalat itu adalah seorang yang tak kenal menyerah dan telah mencuba berulang kali, hanya saja dia melakukannya dengan cara-cara yang sama.” Semut tua itu memerintahkan rakan-rakannya berhenti sejenak seraya melanjutkan perkataannya, namun kali ini dengan mimik dan nada lebih serius, “Ingat anak muda, jika kamu melakukan sesuatu dengan cara yang sama tapi mengharapkan hasil yang berbeza, maka nasib kamu akan seperti lalat ini.”
Para pemenang tidak melakukan hal-hal yang berbeza, mereka hanya melakukannya dengan cara yang berbeza.