Tuesday, 28 July 2015

Siapakah mereka ini?




*Syaqiq bin Ibrahim berkata “Aku telah bertanya kepada tujuh ratus ulama berkaitan lima masalah, kemudian mereka semuanya menjawab dengan jawapan yang sama.

“Siapakan yang sempurna akal?
Jawabnya : “orang yang tidak cinta dunia.”

“Siapakah orang yang cerdik?”
Jawabnya : “Orang yang tidak tertipu dengan dunia.”

“Siapakan orang kaya?”
Jawabnya : “Orang yang redha menerima bahagiannya dari Allah.”

“Siapakan yang mengerti agama?”
Jawabnya : “Orang yang tidak minta berlebih-lebihan.

“Siapakah orang yang bakhil?”
Jawabnya : “orang yang tidak mengeluarkan hak Allah daripada hartanya.

Ibn ’Ajibah berkata : “ kalaulah Allah SWT tidak menjadikan sesuatu untukmu kecuali ihsan dan kurniaan, amat pelik kamu meninggalkan-Nya dan meminta hajat dan berharap kepada orang lain.”

العجب كل العجب ممن يهرب ممن لا انفكاك له عنه، ويطلب ما لا بقاء معه؛ { فإنها لا تعمى الأبصار، ولكن تعمى القلوب التي في الصدور }الحج:46]

Maksudnya : Amat menghairankan (ajaib) orang yang lari daripada sesuatu yang sangat diperlukan dan tidak dapat lepas daripadanya, dan yang berusaha mencari sesuatu yang tidak akan kekal padanya. { Sesungguhnya dia bukan buta penglihatan tetapi yang buta mata hati yang di dalam dada.} surah alhajj : 46



*Syaqiq bin Ibrahim al Balkhy (wafat 139 H./810) salah seorang di antara tokoh tokoh besar Khurasan. Ia adalah guru dari Hatim al Asham.


Sunday, 12 July 2015

Apakah kamu mengungkit pada Tuhan kamu?


Pada suatu masa Nabi Daud a.s keluar ke pesisir untuk beribadat dan apabila telah genap setahun, dia berdoa: “Ya Rabbi ya Tuhanku, telah bengkok belakangku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku,” Maka Allah memerintahkan seekor katak untuk menjawab doa Nabi Daud a.s itu.

Lalu katak itu berkata: “Hai Nabi Allah, apakah anda mengungkit pada Tuhan ibadatmu yang setahun?Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi, saya di hutan ini selama tiga puluh tahun atau enam puluh tahun bertasbih, bertahmid kepada Allah, sedangkan persediaanku tetap gementar kerana takutkan Tuhanku.”

Maka menangislah Nabi Daud a.s. Ada riwayat yang mengatakan kejadian ini juga pernah terjadi pada Nabi Musa a.s sesudah peristiwa pembunuhan yang tidak disengajakan olehnya.

قال ابن مسعود رضي الله عنه:
"الدنيا دار هم وغم فما كان منها من سرور فهو ربح"

Ibnu Mas’ud r.a berkata : “ Dunia adalah negeri tempat merunsingkan dan mendukacitakan. Apa-apa yang baik atau menggembirakan daripadanya dianggap keuntungan.”


Thursday, 2 July 2015

Siapakah yang selamat?





Syeikh Wahab bin Munabbih
* menceritakan kisah Israiliyat atau kisah orang zaman dahulu, bahawa ada seorang yang terkenal di kalangan Bani Israel(seorang lelaki) yang kuat beribadah, dia berpuasa lebih 70 tahun dan dia tidak berbuka hingga sampai 6 hari barulah berbuka sekali. Apabila ibadatnya sudah stabil, dia memohon kepada Allah SWT untuk melihat syaitan atau iblis. Berulang kali dia memohon kepada Allah SWT tetapi Allah SWT tidak memperkenankan permintaanya.

Lalu dia termenung dan berkata : "Ya Rabb, rupa-rupanya aku tersilap. Sepatutnya aku melihat diriku dan kelemahanku dan bukannya melihat perkara ini." Kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat kepadanya supaya dia semakin baik dalam ibadahnya kepada Allah SWT. Akhirnya, barulah Allah SWT bukakan penglihatannya dan nampakkan olehnya iblis dan syaitan bertaburan memenuhi bumi sehingga tiada seorang pon yang tidak dikelilingi oleh mereka sepertimana lalat-lalat yang mengerumuni dan menghurung najis.

Melihat keadaan itu, berkatalah dia : "Siapakah yang selamat?", jawab malaikat : "الورع اللين", iaitu orang warak yang mempunyai sifat lemah lembut.

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : "Akan sentiasa dimustajabkan bagi seorang hamba selagi tidak membiarkan dosa, atau memutuskan persaudaraan dan selagi tidak terburu-buru". Ditanya : "Wahai Rasulullah, apa itu terburu-buru?" Baginda bersabda : 'Dia berkata aku telah berdoa dan sesungguhnya aku telah berdoa tetapi tidak aku lihat Allah memberiku.' Maka dia berputus asa dan meninggalkan doa."

*Syeikh Munabbih bin Kamil al-Yamani. Abu abdillah al-Abnawi. Seorang thiqah. Beliau banyak meriwayatkan cerita daripada kitab-kitab lama.