Telah diriwayatkan pada zaman dahulu tinggal dua orang adik beradik soleh yang tinggal berjauhan antara mereka. Oleh kerana mereka tinggal berjauhan, maka jarang mereka bertemu. Kadang-kadang mereka dapat berjumpa setahun sekali sahaja.
Pada suatu hari si adik ke rumah abangnya kerana ingin menziarahi abangnya. Kebetulan semasa itu didapatinya si abang tiada di rumah. Dia lantas bertanya kepada kakak iparnya ke mana gerangan si abang. Bukan main terperanjat si adik apabila kakak iparnya dengan marah-marah menjawab, “Dia pergi mencari kayu, semoga dia tidak lagi dikembalikan oleh Allah,” sambil itu mulutnya terus memaki-maki suaminya dengan kuatnya. Oleh kerana dia ingin sangat bertemu abangnya, dia bercadang untuk menunggu sehingga abangnya pulang.
Tidak berapa lama kemudian, pulanglah abangnya dari mencari kayu bersama seekor harimau yang membawakan kayu di atas belakangnya. Setelah abangnya menurunkan kayu dari atas belakang harimau, ia berkata kepada harimau tersebut, “Pergilah semoga Allah memberkati kamu.”
Setelah itu barulah dia mempersilakan adiknya masuk ke rumah. Sementara itu, isterinya masih tetap memaki-maki sambil marah-marah, namun dia tetap membisu. Tidak dijawab, walau sepatah perkataan pun. Dengan susah-payah dia melayan adiknya yang datang dari jauh itu, menghidangkan makanan dan makan bersama-sama adiknya. Setelah bertanya khabar dan berbual-bual, si adik pun ingin meminta izin untuk pulang. Dalam pada itu, adiknya tidak henti-henti memikirkan kesabaran abangnya menghadapi isterinya yang banyak kerenah itu.
Pada tahun yang berikutnya, sekali lagi si adik pergi ke rumah abangnya untuk menziarahi keluarga abangnya. Waktu itu juga abangnya tiada di rumah. Tetapi pada kali ini, kakak iparnya tidak lagi marah-marah dan memaki-hamun suaminya, sebaliknya dia disambut dan dipersilakan menunggu kepulangan suaminya. Sebentar kemudian, pulanglah abangnya sambil memikul kayu di atas bahunya sendiri. Kemudian ia pun mempersilakan adiknya masuk dan makan bersama-samanya. Tetapi kali ini abangnya tidak perlu bersusah-payah melayan adiknya sebaliknya makanan telah pun disediakan oleh isteri yang baik hati itu.
Melihatkan keadaan yang berbeza dari tahun sebelumnya, si adik pun lantas bertanya: “Wahai saudaraku, dahulu ada seekor harimau yang memikulkan kayu untukmu tetapi sekarang kayu, itu engkau pikul sendiri. Dan sewaktu aku sampai ke mari dahulu isterimu sudah berubah sekali. Apakah rahsia di sebalik kejadian ini semua?”
Tersenyum si abang mendengar pertanyaan adiknya itu. Lantas dia pun menjawab: “Wahai adikku, isteriku yang cerewet itu telah meninggal dunia, dan kerana aku bersabar atas kerenahnya itu maka Allah mendatangkan harimau untuk membantuku. Kemudian ketika aku telah diganti oleh Tuhan dengan isteri yang baik budi ini, sudah tidak ada lagi harimau itu dan aku terpaksa memikul kayu ini sendiri.”
Begitulah kisah dua orang adik beradik yang soleh, abangnya diuji dengan ragam isteri tetapi dengan berkat kesabarannya, binatang pun boleh tunduk padanya. Begitulah rahmat Allah yang Maha Pengasih ke atas hamba-Nya. Tetapi selepas kematian isterinya dan diganti dengan isteri yang taat, maka nikmat itu Allah tari semula. Nyatalah Maha Adilnya Allah, kepada setiap yang ditentukan-Nya. Sebenarnya setiap kejadian yang berlaku ke atas kita pasti ada hikmah yang besar di sebaliknya, cuma kita yang tidak sedar dan selalu lalai dengan nikmat yang dikurniakan Allah.
Setiap hari kita seringkali diuji dengan kesabaran. Adakah kita boleh bersabar bila berdepan dengan ragam anak-anak tatkala badan kita terlalu letih, bolehkah kita bersabar bila dimarahi, atau tahankah hati kita bila pulangnya suami ke rumah dalam keadaan yang marah-marah tanpa kita ketahui punca yang sebenarnya. Dan kita akan menghadapi seribu satu macam masalah yang menggugat kesabaran kita dalam mengendalikan urusan seharian. Memanglah untuk menyebut perkataan sabar itu adalah mudah, tetapi untuk mempraktikkannya amatlah payah. Tetapi bagi orang yang ingin mencapai darjat yang tinggi di sisi Allah, walau terpaksa menderita, mereka sanggup melakukannya. Sebab, mereka tahu bala bencana yang menimpa mereka boleh menghapuskan dosa-dosa yang lalu di samping mereka yang mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Barangsiapa yang dapat bersabar terhadap bala bencana yang menimpa, maka dicatat baginya tiga ratus darjat. Yang manajarak jauh antara dua darjat seperti jauh antara langit dan bumi.”

No comments:
Post a Comment