Kita
sekarang sedang menempuhi bulan Rajab.
Bulan Rajab
ini sinonim dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dari kalangan ummat Melayu.
Kerana ramai yang yakin bahawa Isra’ dan
Mi’raj berlaku tepat pada 27hb Rajab.
Tetapi jika kita telaah Kitab Raheeq Al-Makhtum karangan Sayfurrahman
Mubarakfuri, beliau menjelaskan bahawa tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan
Mi’raj masih dalam perdebatan. Namun rata-rata ulama’ bersetuju bahawa
peristiwa ini berlaku pada sekitar 16-12 bulan sebelum peristiwa Hijrah.
Di dalam
artikel ini, suka saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk mencedok
secubit pengajaran daripada peristiwa besar ini.
Sejarah
Isra’ dan Mi’raj Secara Ringkas
Isra’
bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Ini
direkodkan di dalam Al-Quran:
“Maha Suci
yang telah menjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa, yang diberkahi sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat
Kami.” Surah Al-Israa’ ayat 1
Mi’raj pula
bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa, ke langit tertinggi –
Sidratul Muntaha – untuk bertemu dengan Allah SWT.
Terdapat
hadith yang panjang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa
ke Sidratul Muntaha, dan boleh dirujuk di dalam Kitab Raheeq Al-Makhtum.
Isra’ dan
Mi’raj berlaku selepas Tahun Kesedihan, yakni selepas kematian Khadijah dan Abu
Tolib, juga selepas peristiwa berdarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW di
To’if. Tahun yang merupakan tahun kesedihan bukan dek kerana kematian dua orang
manusia yang disayangi oleh Rasulullah SAW, tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan kerana kerasnya
penolakan orang ramai terhadap Islam.
Maka Isra’
dan Mi’raj ini selain bertujuan menurunkan syariat solat kepada ummat, ianya
juga adalah sebuah perjalanan untuk menghiburkan jiwa Rasulullah SAW yang
tergoncang hebat dengan ujian yang Allah SWT berikan. Dengan perjalanan Isra’
dan Mi’raj ini, keimanan Rasulullah SAW dipertingkatkan lagi, dengan terpampang
dengan jelasnya syurga dan neraka di hadapan baginda, bahkan berbicara secara
langsung dengan Allah SWT sendiri.
Isra’ dan
Mi’raj menjadi satu titik di mana kita dapat melihat bahawa sekuat mana pun
seorang manusia, maka dia memerlukan sokongan Tuhannya. Dia perlu bergantung
kepada Allah SWT untuk meneruskan perjalanannya. Rasulullah SAW dipujuk dengan
Isra’ dan Mi’raj, begitulah kita juga perlu dipujuk oleh Allah SWT kerana kita
hanya manusia biasa. Namun pastinya kita tidak dihadiahkan dengan hadiah
seistimewa Rasulullah SAW – yakni perjalanan Isra’ dan Mi’raj itu sendiri.
Namun,
lihatlah apa yang Rasulullah SAW bawa pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj
sebagai hadiah daripada Allah SWT untuk sekalian ummat Islam?
Solat lima
waktu.
Itulah dia
pujukan Allah SWT kepada ummat. Memulakan hari dengan hubungan erat bersama
Allah SWT pada waktu Subuh, mempunyai checkpoint rehat untuk mengadu dan
meminta kekuatan kepada Allah SWT pada Zuhur, Asar dan Maghrib. Dan sebelum
menutup hari, kita dapat menumpahkan segala penyesalan kita akan salah silap
kita pada hari ini serta harapan dan cita-cita kita pada hari esok dengan Solat
Isya’. Kelima-lima Solat Fardhu ini adalah untuk memastikan hubungan seorang
hamba dengan Allah SWT sentiasa berjalan. Manusia diajar untuk sentiasa
memeriksa hubungannya dengan Allah SWT.
Kerana kita
memerlukanNya.
Besarnya
perkara ini, hingga Solat itu tidak diturunkan sebagaimana hukum-hukum biasa.
Rasulullah SAW sendiri perlu naik ke langit, mendapatkannya. Kerana itu solat
ini masyhur sebagai tiang agama. Kerana jika kita tidak punya hubungan baik
dengan Allah SWT, di manakah harganya agama kita?
Persoalannya,
apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT?
Adakah kita
menghargai hadiah daripada Allah SWT ini, atau kita campakkan sahaja ke tepi?
Adakah kita
solat dengan bersungguh-sungguh, dan menjadikannya sebagai checkpoint untuk
mengadu dan meminta kekuatan daripada Allah SWT?
Kemudian
kita hairan mengapa kita ‘lemah’ untuk menghadapi duga dan duka kehidupan yang
memang akan sentiasa menghampiri kita sehingga kita mati?
Muhasabah.
Hidup ini ada tapisanNya.Peristiwa
Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang tidak masuk dek akal. Seorang lelaki tanpa teknologi jet
berkelajuan tinggi, tiba-tiba boleh bergerak dari Makkah ke Masjidil Aqsa,
kemudian naik ke langit tertinggi, seterusnya pulang ke Makkah dalam masa
semalam sahaja. Bukan sehari semalam, tetapi semalam sahaja. Bermakna, kurang
dari 12 jam, bahkan kurang dari 5-6 jam.
Peristiwa
yang luar dari capaian akal ini menjadi ‘tumbukan’ hebat para musyrikin Quraisy
untuk menghentam perjuangan Rasulullah SAW. Kesan daripada peristiwa ini,
akhirnya ramai yang lemah keimanannya meninggalkan Islam dan merasakan Muhammad
SAW telah menjadi gila.
Namun jika
kita perasan, selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tidak lama selepas itu
berlakulah peristiwa Hijrah. Kita mengetahui bahawa peristiwa Hijrah ke
Yathrib/Madinah menjadi point terpenting dalam pembinaan sebuah daulah Islam,
yang selepas itu menguasai seluruh jazirah arab termasuk Makkah sendiri,
seterusnya memberikan kegentaran kepada Rom dan Parsi.
Maka dapat
kita lihat bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu bentuk ‘tapisan’ yang
dijalankan oleh Allah SWT kepada ummat Islam ketika itu. Agar hanya yang
terbaik sahaja yang akan melepasinya, dan menjadi asas-asas utama kepada
pembinaan daulah Islam di Madinah.
Allah SWT
berfirman:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata:
kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”
Surah Al-Ankabut ayat 2.
Begitulah
kita perlu mengambil pengajaran. Bahawa
di dalam kehidupan ini, kita akan ditapis dengan pelbagai jenis ujian. Baik
kesusahan, baik kesenangan, atau ujian dalam bentuk ideologi. Yang mana akan
ada dari kalangan kita yang tumbang, dan akan ada dari kalangan kita akan mara
ke hadapan. Yang berjaya akan menjadi batu-batu asas kepada kemenangan Islam di
masa hadapan.
Maka adalah
merupakan satu anjuran untuk kita memperkasakan diri dari segi ilmu agama, ilmu
realiti, agar berlakunya peningkatan intelek pada minda kita, serta
diperkasakan juga hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga ibadah dan memberikan
makanan kepada hati kita, agar kita terselamat dari tapisan ini, seterusnya
menjadi yang mara ke hadapan membawa perjuangan agama ini.
Sedikit
Berkenaan Rajab dan Fadhilatnya,di bulan
Rajab ini jugalah banyak sekali tersebar hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat
di dalamnya, dan jenis-jenis puasa yang istimewa terdapat di dalamnya.
Kata al-Imam
Ibn Qayyim al-Jauziyyah:
“Hadith-hadith
mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah
palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai
puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi
s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban
(kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun
munculnya Islam.” (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Ini bukan
bermakna tidak digalakkan berpuasa di dalamnya. Tetapi tiadanya puasa-puasa
khusus, dengan pahala yang tertentu di dalamnya. Justeru hadith-hadith yang
menceritakan berkenaan puasa-puasa khusus berkait Rajab, dan pahala-pahala bila
buat sekian-sekian amalan khusus di dalam Bulan Rajab, adalah palsu.
Puasalah
seperti Puasa Nabi Dawud, selang sehari. Tiada masalah. Puasalah Isnin dan
Khamis, tiada masalah. Puasalah pada hari-hari putih, tiada masalah. Bahkan
berpuasa dengan niat hendak memperkasakan diri agar dapat berpuasa sebulan
penuh kala Ramadhan nanti, juga tiada masalah. Namun jangan sesekali kita
sebarkan hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat Rajab.
Akhirnya, Sama-samalah kita Menjaga Hubungan dengan Allah SWT
Maka marilah
kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.
Jangan kita
ambil endah dengan kesihatan hubungan kita denganNya.
Pastikan
ibadah kita terjaga, dan ilmu kita berkenaan agamaNya diperdalamkan.
Sentiasalah bermuhasabah, dan melakukan pembaikan terhadap diri kita. Benda
baik kita tambah-tambahkan dan jadikan darah daging, benda buruk kita
kurang-kurangkan dan jauhi.
Ramadhan
juga semakin hampir. Adalah perlu kita meningkatkan stamina keimanan kita, agar
kita mampu menggempur Ramadhan dengan tenaga kita yang tertinggi, dan memungut
pelbagai lagi hadiah yang Allah SWT taburkan buat kita di dalam bulan yang
mulia tersebut.
Jangan
lengah memperbaiki diri.Sampai ke
Ramadhan pun belum tentu lagi.
Jangan
tunggu !
No comments:
Post a Comment