Wednesday 31 December 2014

dunia itu medan ujian.

Tahun 2014 bakal melabuhkan tirainya,dan bermula lah tahun baru 2015,segalanya terlalu cepat berlalu..banyak perkara berlaku dan berubah..dan setiap perkara ada kesannya,sama ada positif atau negatif..kenangan yang berlalu mungkin tak dapat dinikmati lagi,dan kenangan pahit lebih segar dalam ingatan..itulah yang dinamakan lumrah kehidupan, hidup ini ada manis pahit nya,semua tak akan terlepas untuk merasai..Allah sentiasa menguji hamba-Nya,dan Dia mahu melihat siapakah dikalangan hamba-Nya yang sabar dan memohon perlindungan kepada-Nya.

:وقوله سبحانه

 وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ * الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ * أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ 


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Albaqarah : 155-157)

Dalam ayat ini terdapat 5 elemen ujian Allah terhadapa hamba-hamba-Nya :

1-الْخَوْفِ (ketakutan @ kegelisahan) : ketakutan atau kegelisahan dalam ayat ini terkandung dua perkara iaitu:

alhamm ( الْهَمِّ )

ketakutan atau kegelisahan yang belum terjadi,seperti gelisah dalam menghadapi masa akan datang dalam kehidupan dari segi pekerjaan,amal ibadah,dll.

alhuzun (الْحُزن )

ketakutan dan kegelisahan yang telah berlaku,kesan daripada kehidupan yang telah dilalui pada masa silam.

ketakutan dan kegelisahan ini sentiasa ada didalam hati manusia,sangat dekat dengan jiwa manusia..gelisah tentang kehidupan..dihimpit rasa susah hati,sering memikirkan kesan dan akibat yang akan berlaku pada masa akan datang..dan juga perkara-perkara musibah yang telah terjadi,terasa pedih dengan dugaan yang dihadapi,

Sayyid Qutb berkata: Penganut-penganut akidah itu pasti diuji dengan kesusahan agar pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat, kerana kesusahan-kesusahan dan penderitaan-penderitaan itulah yang dapat merangsangkan segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan. Ia dapat membuka pintu-pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang Mukmin kecuali ia berada di bawah tekanan kesusahan dan penderitaan.

2-الْجُوعِ (lapar dan dahaga) : ujian lapar dan dahaga ini Allah uji pada hamba-Nya dengan ketiadaan sumber makanan dan minuman,seperti berlakunya banjir besar,makanan dan minuman sudah dibawa arus,dan mereka dalam keadaan lapar tiada makanan dan kehausan tiada minuman bersih untuk diminum.

3-نَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ (kekurangan harta benda atau wang) : ketiadaan harta benda dan wang ringgit adalah perkara sinonim bagi manusia,baik yang kaya atau yang miskin akan merasa segala yang ada masih tidak cukup,dan Allah hadirkan ujian kekurangan harta dengan kemusnahan bala bencana banjir,ribut taufan dan sebagainya, memusnahkan semua dalam sekelip mata.

4-وَالْأَنْفُسِ (kehilangan nyawa atau hidupan)  : kehilangan hidupan dimuka bumi adalah ujian yang berat bagi manusia,kasih sayang yang bertaut,segunung cinta yang telah dibina,dan semuanya adalah milik Allah,kerana semua itu akan kembali pada-Nya.

5-الثَّمَرَاتِ (kehilangan kebun dan ladang) : kehilangan kebun atau ladang,yang sudah bertahun ditanam,dijaga rapi..dan merupakan aset terpenting dalam kehidupan dari segi harta pencarian dan sumber makanan bagi manusia.



Dan Allah menutup ayat diatas dengan وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ,berilah khabar gembira bagi mereka yang sabar. kemudian Allah sifatkan orang yang beriman ini dalam ayat selepasnya,apabila didatangkan kepada mereka ujian-ujian Allah mereka menyebut إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ((Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.))

Dalam hadis Nabi S.A.W juga ada menerangkan sifat sabar :



Dari Aisyah r.a diceritakan bahwa Rasulullah SAW bersabda:

ان الصبر عند الصدمة الاولى  

Artinya: Sabar yang sempurna adalah pada pukulan (saat menghadapi cubaan) yang pertama. (1)


Syeikh al-Maghari berkata: Orang yang bersabar akan memperoleh keampunan dan pujian daripada Tuhan mereka atas perbuatan mereka bagi mendapat rahmat yang berupa ketenangan jiwa ketika mengalami bencana. Orang kafir amat iri hati dengan rahmat yang diterima oleh orang mukmin. Justeru, apabila orang kafir ditimpa musibah terasa sempitlah bumi ini sehingga sanggup bunuh diri, jika tidak menemui jalan penyelesaiannya.

Mereka orang yang mendapat petunjuk jalan kebenaran dan oleh yang demikian, mereka menyerahkan kepada ketentuan qada sehingga perasaan keluh kesah tidak dapat menguasai dirinya lagi. Mereka mendapat kebaikan dan ketenangan di dunia serta mendapat kebahagiaan di akhirat, lantaran jiwa yang bersih kemudian perangai yang dihiasi dengan amalan yang soleh.


Antara iktibar dan pengajaran ayat:
  • Dunia merupakan medan ujian bagi mengesahkan dan menapis hakikat perhambaan. Jika berjaya nescaya bahagialah, sebaliknya jika rebah nescaya rugilah.

  • Amat besar ganjaran dan balasan Allah terhadap orang yang sabar sehingga dikurniakan tiga keistimewaan, iaitu selawat, rahmat dan hidayah daripada Tuhan mereka.
  • Hendaklah seseorang mengamali doa istirja’(إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) kerana ia merupakan ikrar dengan `ubudiyah dan pemilikan hanya bagi Allah dan disudahi dengan ikrar dengan fana dan bangkitnya daripada kubur serta yakin bahawa segala urusan kembali kepada Allah jua. Sebagaimana kata Syeikh al-Maghari.






_________________________________________________________________________________

[1] أخرجه البخاري (1283) ومسلم (926/14) والترمذي (987) وأبو داود (3124) والنسائي (4/22) وابن ماجه (1596) من حديث أنس رضي الله عنه.