Sunday 23 August 2015

kamu bertanggungjawab.



Jika orang memutar belitkan lidah pada masalah keduniaan, maka dia akan dipertanggungjawabkan dalam hal keduniaan, tetapi jika memutar belitkan dalam hal agama, menafsirkan bukan dengan maksud Allah, mempergunakan ayat untuk meraih kepentingan peribadi.

Zaman sekarang bagaimana ayat-ayat Allah S.W.T dipergunakan oleh mulut-mulut dan lidah-lidah yang memutar belit daripada makna ayat al-Quran, sehingga berlaku pembunuhan disana sini, kononnya “Allahu akbar”, yang sana pula “Allahu akbar”, semua mempermainkan ayat-ayat Allah S.W.T bukan kepada apa yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T.
Menggunakan firman Allah :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ

wahai seorang nabi, perangilah orang kafir, dan tegaslah kamu kepada mereka.( surah at-Taubah : 73)
 Diperintah oleh Allah S.W.T, setiap orang kafir kita bunuh? Dengan dasar kita berpegang pada ayat Allah S.W.T. ini adalah orang yang mempermainkan ayat-ayat Allah S.W.T.

Dan sudah pernah ada di zaman Rasulullah S.A.W, orang menggunakan ayat-ayat Allah memutar belitkan makna ayat tersebut melalui lisan mereka, diperangi oleh saidina Abu bakar AS-Siddiq R.A, mereka mengatakan kami tidak mahu mengeluarkan zakat. Apa pasal tidak mahu keluarkan zakat? zakat itu wajib. Ya, zakat itu wajib hanya dizaman Rasulullah S.A.W sahaja, setelah Rasulullah wafat, maka tidak ada lagi kewajipan berzakat kerana al-Quran, mereka guna al-Quran, bukan tak guna Quran.

Dan mereka juga sekarang banyak menggunakan al-Quran untuk mensyirikkan fulan, mengkufurkan si fulan dan sebagainya. Apa kata mereka? Allah berfirman dalam al-Quran,

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ

Ambillah wahai Muhammad rasulullah daripada harta mereka, iaini harta zakat, yang dapat menyucikan diri mereka dan dapat membersihkan mereka dan doakan kepada mereka.(surah at-Taubah : 103)

Allah suruh nabi ambil,Allah suruh nabi berdoa, bukan suruh kepada Abu bakar, jadi tak wajib kita keluarkan zakat. Bukan kah dia guna ayat al-Quranul karim? Ya, dia guna. Zaman kita sekarang pun lebih kurang banyak orang mempergunakan ayat, menggunakan hadis, sedikit mensyirikkan si fulan, menyesatkan kepada si fulan. Menuduh kepada si fulan, dengan hadis dan ayat al-Quran yang  difahami oleh mereka dan dihukum orang lain ikut apa mereka paham.


Mempergunakan ayat-ayat dan nas-nas, (لَيًّا بِأَلْسِنَتِهِمْ ) memutarbelitkan lidah mereka, perangai orang yahudi seperti ini, berlaku kepada umat Islam kita zaman sekarang. 

Sunday 16 August 2015

“haa..tengok, Allah hukum dia sebab saya”.


Bila mana orang yang dia hasad atau dengki kepadanya di timpa musibah, atau perkara buruk berlaku kepadanya, jauh didalam hatinya itu seronok dia, lega, dengan musibah yang menimpa orang lain, atau dia merasa hatinya itu susah atau sesuatu dia tak suka, bila mana orang yang dia tak suka mendapat nikmat.

Berapa ramai orang muslimin yang seronok bila mana saudaranya, yang dia mempunyai perbezaan pandangan, atau berselisih dalam masalah bisnes umpanya, atau dalam apa-apa perkara pun dalam hal keduniaan. Bila mana musibah menimpa kepada nya,

“haa..tengok, Allah hukum dia sebab saya”.

hah, dah melangkahi hak Allah pula, macam firman atau wahyu dari Allah turun kepadanya. “Aku hukum dia sebab aku bela engkau”.

"Qulub maridhah" hati sakit, kita menyimpan banyak perkara dalam hati, sebahagian daripada mereka diungkap kan didalam terjemahan, baik melalui lisan, atau melalui perbuatan. Lalu yang tak terungkap? Adakah hilang begitu saja?

وَحُصِّلَ مَا فِي الصُّدُورِ

“hari yang dimaksudkan dengan hari kiamat, akan terungkap segala sesuatu, yang tersimpan didalam hati” (surah aa’diyat: 10)

يَوْمَ تُبْلَى السَّرائِرُ

“Pada hari dinampakkan segala rahasia,(surah at-tariq: 9)

Allah itu untuk mengembalikan, semua yang sudah mati dan sirna, dikembalikan oleh Allah, bila? Di hari segala rahasia terbuka, tak ada perkara tersimpan, semua perkara akan tersingkap, dan berapa banyak perkara tersimpan didunia akan terungkap disana, di akhirat.

Allah S.W.T ingin menyedarkan orang –orang yang beriman itu supaya ber(تعامل) yakni bekerjasama dengan Allah, bukan seperti bekerjasama manusia dengan manusia, kita boleh senyum pada orang, kita boleh membantu pada orang, yang tersimpan di dalam itu apa? Orang yang kita bantu, orang yang kita senyum, tak tahu apa yang tersimpan, tapi yang maha mengetahui tahu apa yang tersimpan didalam hati. Kalau kita berinteraksi dengan manusia, hanya melihat manusia itu sahaja, tanpa memerhatikan kepada yang menciptakan manusia dan mengetahui isi hati kita, maka kita adalah orang yang cetek imannya, dan tidak sempurna iman, kerana berta3amul dengan makhluk, tanpa memerhatikan Khaliq.

Bukan kah dalam rukun agama itu “ehsan” :

أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Engkau menyembah kepada Allah seakan kamu melihat Allah, kalau kamu tak mampu melihat, kamu yakin Allah melihat kamu.

Yang dilihat oleh Allah bukan lah perbuatan luaran sahaja, yang tersimpan didalam hati juga dilihat Allah. Oleh kerana demikian, Allah S.W.T ingin menyedarkan, kepada kaum mukminin, Allah maha mengetahui apa yang tersimpan didalam hati, Allah juga mengira perkara yang didalam hati.


والله اعلم   

bahasa iman.


Dalam kisah nabi Musa A.S, Allah S.W.T meneceritakan tentang bagaimana kekuatan orang yang merasa dirinya bertuhan, bila mana berdepan dengan masalah. Dan ini menjadi iktibar kepada kita sebagai seorang yang beriman bertuhankan Allah S.W.T, untuk tidak bersandar kecuali kepada Allah, dalam apa sahaja permasalahan. Walaupun semua makhluk tak mampu nak setelkan.

Nabi Musa A.S ketika membawa bani Israel untuk diselamatkan dari penindasan daripada Fir’aun, dibawa oleh nabi Musa A.S ketika sampai di tepi lautan, Fir’aun yang telah menyedari bahawa nabi Musa sudah keluar dengan bani Israel, maka Fir’aun itu telah mempersiapkan satu kekuatan yang hebat begitu luar biasa dan senjata yang lengkap, mengejar nabi Musa A.S dan bani Israel.
Mereka nabi Musa A.S dan bani Israel berada ditepi pantai, sementara Fir’aun sedang mengejar di belakang mereka dengan tenteranya. Apa kata bani Israel?

(إِنَّا لَمُدْرَكُونَ)
"Sesungguhnya kita akan ditawan". (61)

Depan laut, belakang Fir’aun dan tenteranya, kami sudah kena tangkap, kami sudah tidak boleh lari, kami sudah tidak dapat diselamatkan.
Masalah atau bukan masalah? Masalah itu benar atau tidak? Bukankah didepan bani Israel ada lautan, dibelakang Fir’aun, maju mati, mundur mati. Ikut mentaliti logik, tetapi bila mana mentaliti orang beriman, berdepan dengan masalah, tidak mengkedepankan logik, tidak mengkedepankan akal, tetapi mengkedepankan tuhan yang mencipta akal.
Apa kata nabi Musa A.S?
قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ (62
"Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku"(surah ash-syu’araa’: 62)

Nabi Musa A.S tak tengok lautan ini, tak tengok Fir’aun dan tenteranya. Bahkan bukan melihat segala permasalahan yang nampak dengan mata,tidak dapat dikawal, dan mesti terjadi seperti apa yang dilihat. Ini semua tertakluk kepada Allah S.W.T.

(كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ )“bersama dengan saya, tuhan saya”, yang berkuasa untuk berbuat apa sahaja kepada lautan, berkuasa untuk berbuat apa sahaja kepada Fir’aun dan tenteranya, ini bahasa “iman”, kepada orang yang merasa diri mereka bertuhan. Maka sentiasa dia akan mengkedepankan kekuatan tuhan berbandingkan bukan kepada kekuatan dirinya sahaja, hatta seluruh makhluk. Berapa banyak kemenangan yang diberikan dan ditunjukkan pada Allah, kepada kaum muslimin? Bukan kerna kekuatan mereka, tetapi adalah kekuatan yang diberikan oleh Allah S.W.T.   

Allah S.W.T memerintahkan kepada nabi Musa A.S, “pukul lah lautan itu”, disuruh pukul lautan itu? Ikut hukum logik juga, berapa banyak Allah menunjukkan dalam Al-Quran, terbatalnya hukum logik, akan tetapi ramai manusia masih mempertahankan hukum logik dalam segala hal, hukum akal dalam segala hal, tak masuk akal, yang tak masuk akal itu belum tentu mustahil, belum tentu tak wujud.
Disuruh pukul lautan, dipukullah nabi Musa A.S lautan, apa yang berlaku?( فَانْفَلَقَ), terbelahlah lautan itu, (كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ ), umpama gunung tingginya, barulah nabi Musa A.S lalu dengan bani Israel.

فَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ

Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.( surah ash-syu’araa’ : 63)

Kesimpulannya, orang yang bertuhan, berbeza dengan orang yang tidak bertuhan. Yang bertuhan akan sentiasa kembalikan permasalahan kepada tuhan, manakala orang yang tidak bertuhan, akan mengembalikan segalanya kepada dirinya sendiri, kalau dah tak  boleh menghadapi masalah, maka dia akan mengambil jalan pintas.



Wednesday 12 August 2015

berdebat untuk menambahkan keimanan.



Di zaman imam al-Ghazali R.hm, dizamannya itu ulama’ suka bertengkar, abad ke-6 hijriah, lebih kurang 900 tahun yang lalu. Tak tahu macam mana jika imam al-Ghazali R.hm duduk di zaman kita sekarang ini, bukan hal-hal agama berdebat, macam-macam hal diperdebatkan, dalam hal yang tiada kaitan dengan dengan perkara yang boleh menambahkan keimanan kita kepada Allah S.W.T.
Imam Syafi’e mengatakan,
ما ناظرت أحدا قط إلا وتمنيت أن يجري الله الحق على لسانه

“Saya tidak pernah berdebat dengan orang yang ingin berdebat dengan saya, melainkan saya mengharapkan Allah mengeluarkan kebenaran dari kata-katanya.”

Yakni tidak mahu dalam perdebatan itu, mengharapkan agar dirinya menang di dalam berdebat, walaupun didalam perdebatan itu, tujuan dan matlamat perdebatan itu mencari kebenaran.

 : قوله تعالى
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Firman Allah S.W.T : Dan berbahaslah dengan mereka  (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.

Apa Allah kata, berdebatlah kamu.. bukan berdebat sahaja, tapi dengan terbaik, artinya jika kebenaran itu ada pada musuh, kita kene bersedia menerima kebenaran itu, tapi kalau kita berdebat, kita datang untuk membawa kepada kebenaran dan kita tak nak dengar hujah orang itu, bukan kita nk berdebat, tapi kita nak mewajibkan apa yang kita anggap benar, supayaorang itu boleh terima kita punya pandangan.

Ini bukan perdebatan, yang dinamakan perdebatan nak mencari kebenaran, tapi kalau nak berdebat nak menjatuhkan pandangan orang lain, ini bkn nk berdebat, ini nak bergaduh, bergaduh ideologi, bergaduh pandangan.

Seperti apa yang diperkatakan oleh imam Syafie ““Saya tidak pernah berdebat dengan orang yang ingin berdebat dengan saya, melainkan saya mengharapkan Allah mengeluarkan kebenaran dari kata-katanya.” Tujuannya apa? Ketelusan mencari kebenaran.

Kata imam as-Syafi’e lagi :

رأي صواب يحتمل الخطأ،ورأي غيري خطأ يحتمل الصواب

“Kebenaran yang saya anggap benar, mungkin saja tidak benar di mata orang lain, pandangan yang tak benar bagi orang lain, mungkin itu pandangan yang benar”.

Tak ada satu kebenaran yang mutlak ada pada kita, berlaku di zaman kita sekarang, adalah anggapan, dirinya paling benar, apa yang dilakukan? Orang lain salah, “haza syirik, ini bid’ah, ini benda yang tak dibuat oleh Rasulullah S.A.W”, pasal apa? Kerana menganggap dirinya paling benar, dan orang lain salah.

Permulaannya daripada mana? Permulaannya daripada menganggap diri mereka benar. Cuba pegang konsep “kebenaran” imam Syafi’e itu, “Kebenaran yang ada pada kita, mungkin salah. Salah yang ada pada orang lain, mungkin benar”. Jika begitu, kita agak reda sedikit, tak mewajibkan apa yang kita pandang itu benar dan orang lain akan anggap perkara itu benar juga.

الله اعلم

Sunday 9 August 2015

Cerita Khadam-khadam Allah.



Diriwayatkan daripada sebahagian pengikut Imam ahmad bin Hanbal r.hm. bahawa dia berkata :
Apabila Imam Ahmad bin Hanbal r.hm. meninggal dunia, saya bermimpi melihat Imam Ahmad sedang berjalan-jalan dan bersiar-siar dalam keadaan riang dan gembira. Maka saya bertanya kepadanya: “ Hai saudaraku engkau bergaya di dalam perjalananmu dalam keadaan riang dan sukaria?” Dia menjawab: “Beginilah khadam-khadam Allah yakni orang yang berkhidmat kepada Allah di dunia bila dia berjalan dan bersiar-siar di dalam syurga Darussalam!”

“Apa yang dilakukan Allah terhadapmu?” Tanyaku pula kepadanya. “Allah telah mengampunkan aku dan memberi balasan yang baik kepadaku, antaranya ialah sepasang kasut ini yang diperbuat daripada emas merah,” Jawabnya.

“Oh, ini barangkali kerana hujahmu bahawa Al-Quran itu kalamullah yang qodim diturunkan kepada manusia dan dia bukan makhluk(baharu),” aku bertanya ingin minta kepastian dan dia menyetujui.
Kemudia Imam Ahmad bin Hanbal pula bercerita lagi kepadaku : “Maka dikatakan kepadaku: “Hai Ahmad! Pergilah ke mana sahaja yang engkau suka!” Lalu saya pun memasuki syurga dan orang yang pertama saya temui ialah Sufyan al-Tsauri. Saya lihat  dia mempunyai dua pasang sayap untuk terbang dari satu pohon ke pohon yang lain, sedang dia secara terus menerus membaca sepotong ayat al-Quran:

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاء فَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ
(Surah al-Zumar: 74)

Kemudian saya bertanya kepadanya pula tentang Abd. Al-Razak, orang yang suka berpidato menasihati orang ramai itu. Maka aku diberitahu oleh Imam Ahmad bahawa dia telah melihat kapal daripada cahaya juga. Maksudnya dia sedang berada disisi Allah S.W.T.

Selepas itu aku bertanya pula tentang bisyr bin al-Hafi, maka jawabnya: “Bahagia! Sangat bahagia! Siapa yang dapat menandingi Bisyr ini! Aku menemuinya sedang berhadapan dengan Tuhan yang maha Agung, yang berkata kepadanya: Makanlah, wahai orang yang tidak makan (didunia), dan minumlah wahai orang yang tidak minum dan nikmatilah apa sahaja yang kau kehendaki!”


“Tentang Maaruf al-Karkhi?” tanyaku kepadanya. Imam Ahmad memberitahuku, bahawa Maaruf sedang berada di bawah Arasy, lalu Tuhan Maha Besar bertanya kepada Malaikat-Nya: “Siapakah  orang ini!” Jawab malaikat: “Ya Tuhan! Engkau lebih tahu tentang ornag ini! Tuhan berfirman: “Inilah Maaruf al-Karkhi yang selalu mabuk cinta pada-Ku, dan dia tidak akan sedar kecuali sesudah melihat-Ku.” Demikian mimpi orang itu yang bertanya, jawabnya dengan Imam Ahmad bin Hanbal r.hm.

Saturday 8 August 2015

Apa yang Allah pandang?


Apa yang dipandang oleh Allah dalam tubuh badan kita adalah hati, Dari Abu Hurairah ia berkata, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kalian dan harta kalian akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kalian dan perbuatan-perbuatan kalian.” (HR. Muslim),apa agaknya kita bila melihat apa yang tersimpan didalam hati ini, yang menjadi wadah tempat dipandang sentiasa oleh Allah S.W.T, adakah Allah akan mendapati didalam hati kita perkara yang disukai oleh Allah ataupun sebaliknya.

Zikir dan selawat itu menghidupkan hati kita yang mati, melembutkan hati kita yang keras, dan menyedarkan hati kita yang lalai. Kerana zikir ini menjadi penawar supaya kita ingat kepada Allah S.W.T, dan dengan perbuatan ini kita juga mengadu dan merayu kepada Allah, semoga hati ini yang sentiasa menumpukan kepada perkara-perkara yang memutuskan perhubungan hati dengan Allah S.W.T, melalui pandangan kepada perkara yang tidak disukai Allah melalui mata, yang masuk ke dalam hati, melalui telinga dengan apa yang kita dengar perkara-perkara yang bathil masuk ke dalam hati, daripada lisan yang terluar kata-kata buruk yang merupakan cerminan daripada isi hati, daripada tindakan tangan dan anggota tubuh badan kepada tempat-tempat yang tidak di redhai Allah yang mana itu adalah suruhan daripada hati.

Kita merayu dan mengadu kepada Allah S.W.T supaya hati ini diputuskan daripada perkara-perkara yang memutuskan kita dengan Allah S.W.T daripada hasad dengki yang selalu ada didalam hati, daripada sifat sombong, takabbur serta riya’, daripada kecintaan kepada dunia yang bersemadi didalam hati, adakah bila mana ini semua ada didalam hati kita, adakah Allah S.W.T suka memandang kepada hati kita atau sebaliknya. Allah tidak pandang didalam hati yang terlalu banyak sampah, ataupun noda dan kotoran daripada dengki kepada orang lain, hasad kepada orang lain, benci kepada orang lain, buruk sangka kepada orang lain, suka memaki kepada orang lain, melihat perkara yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T.

Dengan menghadirkan diri kita dengan zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W, agar supaya Allah S.W.T mengubati hati kita, lebih-lebih lagi dengan berselawat kepada Rasulullah S.A.W, yang mana beliau adalah doktor kepada hati, bila mana doktor yang ada di zaman kita sekarang, mengubati orang lain dengan ubat dan ramuannya, baginda Rasulullah S.A.W adalah doktor kepada hati umat Islam dengan doanya, dengan ajarannya, dengan kedudukannya disisi Allah S.W.T.

Bagaimana beliau tidak dikatakan “tobibul qulub”, sebagai doktor kepada hati sementara ramai yang hidup bersama Rasulullah, yang mempunya sakit didalam hatinya, dan merupakan penyakit yang lebih merbahaya berbanding penyakit di tubuh badan, terubati dengan doa Rasulullah S.A.W. Salah seorang daripada mereka, yang bernama Fudholah yang ingin membunuh Rasulullah S.A.W, kerana kebencian yang bersemadi didalam hatinya, dia tidak akan menghampiri Rasulullah kecuali ingin membunuh Rasulullah S.A.W, sehingga dia dihampiri oleh Rasulullah S.A.W dan dipegang dadanya lalu di bacakan doa, Fudholah mengatakan “tidak diangkat tangan Rasulullah daripada dada aku, melainkan tidak ada orang yang lebih aku cintai melebihi cinta aku kepada Rasulullah, yang mana sebelum ini tiada orang yang paling aku benci, daripada benci aku kepada Rasulullah ”. Dengan tangannya yang menyentuh di dada Fudholah menjadi berubah daripada benci kepada kasih kepada baginda Rasulullah S.A.W, maka beliau adalah doktor kepada hati.

Moga dengan memperbanyakkan selawat dan kasih kita kepada baginda Rasulullah S.A.W menjadi penawar kepada hati kita yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang tidak baik didalam hati ini, dan sungguh apa yang istimewa pada seseorang disisi Allah bukan lah pada kedudukannya, bukan keturunannya,bukan latar belakangnya, bukan jawatannya, akan tetapi hati orang itu disisi Allah S.W.T.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى اله و صحبه أجمعين