Saturday 8 August 2015

Apa yang Allah pandang?


Apa yang dipandang oleh Allah dalam tubuh badan kita adalah hati, Dari Abu Hurairah ia berkata, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kalian dan harta kalian akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kalian dan perbuatan-perbuatan kalian.” (HR. Muslim),apa agaknya kita bila melihat apa yang tersimpan didalam hati ini, yang menjadi wadah tempat dipandang sentiasa oleh Allah S.W.T, adakah Allah akan mendapati didalam hati kita perkara yang disukai oleh Allah ataupun sebaliknya.

Zikir dan selawat itu menghidupkan hati kita yang mati, melembutkan hati kita yang keras, dan menyedarkan hati kita yang lalai. Kerana zikir ini menjadi penawar supaya kita ingat kepada Allah S.W.T, dan dengan perbuatan ini kita juga mengadu dan merayu kepada Allah, semoga hati ini yang sentiasa menumpukan kepada perkara-perkara yang memutuskan perhubungan hati dengan Allah S.W.T, melalui pandangan kepada perkara yang tidak disukai Allah melalui mata, yang masuk ke dalam hati, melalui telinga dengan apa yang kita dengar perkara-perkara yang bathil masuk ke dalam hati, daripada lisan yang terluar kata-kata buruk yang merupakan cerminan daripada isi hati, daripada tindakan tangan dan anggota tubuh badan kepada tempat-tempat yang tidak di redhai Allah yang mana itu adalah suruhan daripada hati.

Kita merayu dan mengadu kepada Allah S.W.T supaya hati ini diputuskan daripada perkara-perkara yang memutuskan kita dengan Allah S.W.T daripada hasad dengki yang selalu ada didalam hati, daripada sifat sombong, takabbur serta riya’, daripada kecintaan kepada dunia yang bersemadi didalam hati, adakah bila mana ini semua ada didalam hati kita, adakah Allah S.W.T suka memandang kepada hati kita atau sebaliknya. Allah tidak pandang didalam hati yang terlalu banyak sampah, ataupun noda dan kotoran daripada dengki kepada orang lain, hasad kepada orang lain, benci kepada orang lain, buruk sangka kepada orang lain, suka memaki kepada orang lain, melihat perkara yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T.

Dengan menghadirkan diri kita dengan zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W, agar supaya Allah S.W.T mengubati hati kita, lebih-lebih lagi dengan berselawat kepada Rasulullah S.A.W, yang mana beliau adalah doktor kepada hati, bila mana doktor yang ada di zaman kita sekarang, mengubati orang lain dengan ubat dan ramuannya, baginda Rasulullah S.A.W adalah doktor kepada hati umat Islam dengan doanya, dengan ajarannya, dengan kedudukannya disisi Allah S.W.T.

Bagaimana beliau tidak dikatakan “tobibul qulub”, sebagai doktor kepada hati sementara ramai yang hidup bersama Rasulullah, yang mempunya sakit didalam hatinya, dan merupakan penyakit yang lebih merbahaya berbanding penyakit di tubuh badan, terubati dengan doa Rasulullah S.A.W. Salah seorang daripada mereka, yang bernama Fudholah yang ingin membunuh Rasulullah S.A.W, kerana kebencian yang bersemadi didalam hatinya, dia tidak akan menghampiri Rasulullah kecuali ingin membunuh Rasulullah S.A.W, sehingga dia dihampiri oleh Rasulullah S.A.W dan dipegang dadanya lalu di bacakan doa, Fudholah mengatakan “tidak diangkat tangan Rasulullah daripada dada aku, melainkan tidak ada orang yang lebih aku cintai melebihi cinta aku kepada Rasulullah, yang mana sebelum ini tiada orang yang paling aku benci, daripada benci aku kepada Rasulullah ”. Dengan tangannya yang menyentuh di dada Fudholah menjadi berubah daripada benci kepada kasih kepada baginda Rasulullah S.A.W, maka beliau adalah doktor kepada hati.

Moga dengan memperbanyakkan selawat dan kasih kita kepada baginda Rasulullah S.A.W menjadi penawar kepada hati kita yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang tidak baik didalam hati ini, dan sungguh apa yang istimewa pada seseorang disisi Allah bukan lah pada kedudukannya, bukan keturunannya,bukan latar belakangnya, bukan jawatannya, akan tetapi hati orang itu disisi Allah S.W.T.

اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى اله و صحبه أجمعين

No comments:

Post a Comment