Wednesday 30 January 2013

pelita kebijaksanaan.


Pada suatu malam, seorang buta pulang dari rumah sahabat. Sang sahabat membekalkannya dengan sebuah  pelita.

Orang buta itu terbahak berkata: "Buat apa saya bawa pelita? Kan sama saja buat saya! Saya boleh pulang!"
Dengan lembut sahabatnya menjawab, "Ini agar orang lain boleh melihat kamu, biar mereka tidak melanggar kamu."

Akhirnya orang buta itu bersetuju untuk membawa pelita tersebut. Tak berapa lama, dalam perjalanan, seorang pejalan melanggar si buta.

Dalam terkejut, dia mengomel, "Hei, kamu punya mata! Beri jalan buat orang buta dulu ! "

Tanpa berbalas sapa, mereka pun saling berlalu.Lebih lanjut, seorang pejalan lain melanggar si buta.
Kali ini si buta bertambah marah, "Apa kamu buta? Tidak boleh lihat ya? Aku bawa pelita ini supaya kamu boleh lihat! "

Pemuda itu membalas dengan berkata, "Kamu yang buta! Apa kamu tidak lihat, pelitamu sudah padam! "
Si buta terpegun ..

Menyedari situasi itu, pemuda yang melanggar tadi meminta maaf, "Oh, maaf, sayalah yang 'buta', saya tidak melihat bahawa anda adalah orang buta."

Si buta tersipu menjawab, "Tidak apa-apa, maafkan saya juga atas kata-kata kasar saya."
Dengan tulus, pemuda itu membantu menghidupkan kembali pelita yang dibawa si buta. Mereka pun meneruskan perjalanan masing-masing.

Dalam perjalanan selanjutnya, ada lagi pejalan yang melanggar orang buta ini.
Kali ini, si buta lebih berhati-hati, dia bertanya dengan santun, "Maaf, apakah pelita saya padam?"
Pelanggar menjawab, "Hai, saya justeru mahu menanyakan hal yang sama."
tersenyap sejenak.

secara serentak mereka bertanya, "Apakah anda orang buta?"
Secara serentak mereka menjawab, "Ya.,"  kemudian tertawa.

Mereka saling membantu mencari kembali pelita mereka yang berjatuhan sehabis bertembung.
Pada waktu itu juga, seseorang lalu dikawasan itu.Dalam kesuraman malam, nyaris sahaja ia melanggar kedua orang yang sedang mencari-cari pelita tersebut. Da pun berlalu, tanpa mengetahui bahawa mereka adalah orang buta.

Timbul fikiran dalam benak orang ini, "Rasanya saya perlu membawa pelita juga, jadi saya boleh melihat
jalan dengan lebih baik, orang lain juga boleh ikut melihat jalan mereka."

Pelita melambangkan terang kebijaksanaan. Membawa pelita bererti menjalankan kebijaksanaan dalam hidup. Pelita, sama halnya dengan kebijaksanaan, melindungi kita dan pihak lain dari pelbagai aral rintangan
.
Si buta pertama mewakili mereka yang terselubungi kegelapan batin, keangkuhan, kebebalan, ego, dan kemarahan. Selalu menunjuk ke arah orang lain, tidak sedar bahawa lebih banyak jarinya yang menunjuk ke arah dirinya sendiri. Dalam perjalanan "pulang", ia belajar menjadi bijak melalui peristiwa demi peristiwa yang dialaminya. Ia menjadi lebih rendah hati kerana menyedari kebutaannya dan dengan adanya belas kasih dari pihak lain. Ia juga belajar menjadi pemaaf.

Pelanggar pertama mewakili orang-orang pada umumnya, yang kurang kesedaran, yang kurang peduli. Kadang, mereka memilih untuk "membuta" walaupun mereka boleh melihat.

Pelanggar kedua mewakili mereka yang seolah bertentangan dengan kita, yang sebenarnya menunjukkan kekeliruan kita, sengaja atau tidak sengaja. Mereka boleh menjadi guru terbaik kita. Tak seorang pun yang mahu jadi buta, sudah selayaknya kita saling mengingati dan saling membantu.

Orang buta kedua mewakili mereka yang sama-sama gelap batin dengan kita. Betapa sukarnya menyalakan pelita kalau kita bahkan tidak dapat melihat pelitanya. Orang buta sukar memimpin orang buta yang lain.

Itulah pentingnya untuk terus belajar agar kita menjadi semakin celik, semakin bijaksana.
Orang terakhir yang tiba di kawasan itu mewakili mereka yang cukup sedar akan pentingnya memiliki pelita kebijaksanaan.

Sudahkah kita sulut pelita dalam diri kita masing-masing? Jika sudah, apakah nyalanya masih terang, atau bahkan hampir padam? JADILAH PELITA, bagi diri kita sendiri dan sekitar kita.

Sebuah pepatah berusia 25 abad mengatakan: Sejuta pelita dapat dinyalakan dari sebuah pelita, dan nyalaan pelita pertama tidak akan meredup. Pelita kebijaksanaan pun, tak kan pernah habis terbahagi.

Bila mata tanpa penghalang, hasilnya adalah penglihatan. Jika telinga tanpa penghalang, hasilnya adalah pendengaran. Hidung yang tanpa penghalang membuahkan hiduan. Akal fikiran yang tanpa penghalang hasilnya adalah kebijaksanaan.

No comments:

Post a Comment