Saturday 1 June 2013

sedikit mengenai isra' dan mi'raj.




Kita sekarang sedang menempuhi bulan Rajab.

Bulan Rajab ini sinonim dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dari kalangan ummat Melayu. Kerana ramai yang yakin bahawa Isra’  dan Mi’raj  berlaku tepat pada 27hb Rajab. Tetapi jika kita telaah Kitab Raheeq Al-Makhtum karangan Sayfurrahman Mubarakfuri, beliau menjelaskan bahawa tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj masih dalam perdebatan. Namun rata-rata ulama’ bersetuju bahawa peristiwa ini berlaku pada sekitar 16-12 bulan sebelum peristiwa Hijrah.

Di dalam artikel ini, suka saya mengajak diri saya dan rakan-rakan untuk mencedok secubit pengajaran daripada peristiwa besar ini.


Sejarah Isra’ dan Mi’raj Secara Ringkas

Isra’ bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Masjidil Aqsa. Ini direkodkan di dalam Al-Quran:

Maha Suci yang telah menjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang diberkahi sekelilingnya untuk meneranginya dengan ayat-ayat Kami.” Surah Al-Israa’ ayat 1

Mi’raj pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa, ke langit tertinggi – Sidratul Muntaha – untuk bertemu dengan Allah SWT.

Terdapat hadith yang panjang menceritakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha, dan boleh dirujuk di dalam Kitab Raheeq Al-Makhtum.

Isra’ dan Mi’raj berlaku selepas Tahun Kesedihan, yakni selepas kematian Khadijah dan Abu Tolib, juga selepas peristiwa berdarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW di To’if. Tahun yang merupakan tahun kesedihan bukan dek kerana kematian dua orang manusia yang disayangi oleh Rasulullah SAW, tahun itu dinamakan Tahun Kesedihan kerana kerasnya penolakan orang ramai terhadap Islam.

Maka Isra’ dan Mi’raj ini selain bertujuan menurunkan syariat solat kepada ummat, ianya juga adalah sebuah perjalanan untuk menghiburkan jiwa Rasulullah SAW yang tergoncang hebat dengan ujian yang Allah SWT berikan. Dengan perjalanan Isra’ dan Mi’raj ini, keimanan Rasulullah SAW dipertingkatkan lagi, dengan terpampang dengan jelasnya syurga dan neraka di hadapan baginda, bahkan berbicara secara langsung dengan Allah SWT sendiri.


Isra’ dan Mi’raj menjadi satu titik di mana kita dapat melihat bahawa sekuat mana pun seorang manusia, maka dia memerlukan sokongan Tuhannya. Dia perlu bergantung kepada Allah SWT untuk meneruskan perjalanannya. Rasulullah SAW dipujuk dengan Isra’ dan Mi’raj, begitulah kita juga perlu dipujuk oleh Allah SWT kerana kita hanya manusia biasa. Namun pastinya kita tidak dihadiahkan dengan hadiah seistimewa Rasulullah SAW – yakni perjalanan Isra’ dan Mi’raj itu sendiri.

Namun, lihatlah apa yang Rasulullah SAW bawa pulang dari perjalanan Isra’ dan Mi’raj sebagai hadiah daripada Allah SWT untuk sekalian ummat Islam?

Solat lima waktu.

Itulah dia pujukan Allah SWT kepada ummat. Memulakan hari dengan hubungan erat bersama Allah SWT pada waktu Subuh, mempunyai checkpoint rehat untuk mengadu dan meminta kekuatan kepada Allah SWT pada Zuhur, Asar dan Maghrib. Dan sebelum menutup hari, kita dapat menumpahkan segala penyesalan kita akan salah silap kita pada hari ini serta harapan dan cita-cita kita pada hari esok dengan Solat Isya’. Kelima-lima Solat Fardhu ini adalah untuk memastikan hubungan seorang hamba dengan Allah SWT sentiasa berjalan. Manusia diajar untuk sentiasa memeriksa hubungannya dengan Allah SWT.

Kerana kita memerlukanNya.

Besarnya perkara ini, hingga Solat itu tidak diturunkan sebagaimana hukum-hukum biasa. Rasulullah SAW sendiri perlu naik ke langit, mendapatkannya. Kerana itu solat ini masyhur sebagai tiang agama. Kerana jika kita tidak punya hubungan baik dengan Allah SWT, di manakah harganya agama kita?

Persoalannya, apakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT?

Adakah kita menghargai hadiah daripada Allah SWT ini, atau kita campakkan sahaja ke tepi?

Adakah kita solat dengan bersungguh-sungguh, dan menjadikannya sebagai checkpoint untuk mengadu dan meminta kekuatan daripada Allah SWT?

Kemudian kita hairan mengapa kita ‘lemah’ untuk menghadapi duga dan duka kehidupan yang memang akan sentiasa menghampiri kita sehingga kita mati?

Muhasabah.

Hidup ini ada tapisanNya.Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang tidak masuk dek akal.  Seorang lelaki tanpa teknologi jet berkelajuan tinggi, tiba-tiba boleh bergerak dari Makkah ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit tertinggi, seterusnya pulang ke Makkah dalam masa semalam sahaja. Bukan sehari semalam, tetapi semalam sahaja. Bermakna, kurang dari 12 jam, bahkan kurang dari 5-6 jam.

Peristiwa yang luar dari capaian akal ini menjadi ‘tumbukan’ hebat para musyrikin Quraisy untuk menghentam perjuangan Rasulullah SAW. Kesan daripada peristiwa ini, akhirnya ramai yang lemah keimanannya meninggalkan Islam dan merasakan Muhammad SAW telah menjadi gila.

Namun jika kita perasan, selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tidak lama selepas itu berlakulah peristiwa Hijrah. Kita mengetahui bahawa peristiwa Hijrah ke Yathrib/Madinah menjadi point terpenting dalam pembinaan sebuah daulah Islam, yang selepas itu menguasai seluruh jazirah arab termasuk Makkah sendiri, seterusnya memberikan kegentaran kepada Rom dan Parsi.

Maka dapat kita lihat bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu bentuk ‘tapisan’ yang dijalankan oleh Allah SWT kepada ummat Islam ketika itu. Agar hanya yang terbaik sahaja yang akan melepasinya, dan menjadi asas-asas utama kepada pembinaan daulah Islam di Madinah.

Allah SWT berfirman: 

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” 
Surah Al-Ankabut ayat 2.

Begitulah kita perlu mengambil pengajaran.  Bahawa di dalam kehidupan ini, kita akan ditapis dengan pelbagai jenis ujian. Baik kesusahan, baik kesenangan, atau ujian dalam bentuk ideologi. Yang mana akan ada dari kalangan kita yang tumbang, dan akan ada dari kalangan kita akan mara ke hadapan. Yang berjaya akan menjadi batu-batu asas kepada kemenangan Islam di masa hadapan.

Maka adalah merupakan satu anjuran untuk kita memperkasakan diri dari segi ilmu agama, ilmu realiti, agar berlakunya peningkatan intelek pada minda kita, serta diperkasakan juga hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga ibadah dan memberikan makanan kepada hati kita, agar kita terselamat dari tapisan ini, seterusnya menjadi yang mara ke hadapan membawa perjuangan agama ini.



Sedikit Berkenaan Rajab dan Fadhilatnya,di bulan Rajab ini jugalah banyak sekali tersebar hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat di dalamnya, dan jenis-jenis puasa yang istimewa terdapat di dalamnya.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

“Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam.” (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Ini bukan bermakna tidak digalakkan berpuasa di dalamnya. Tetapi tiadanya puasa-puasa khusus, dengan pahala yang tertentu di dalamnya. Justeru hadith-hadith yang menceritakan berkenaan puasa-puasa khusus berkait Rajab, dan pahala-pahala bila buat sekian-sekian amalan khusus di dalam Bulan Rajab, adalah palsu.

Puasalah seperti Puasa Nabi Dawud, selang sehari. Tiada masalah. Puasalah Isnin dan Khamis, tiada masalah. Puasalah pada hari-hari putih, tiada masalah. Bahkan berpuasa dengan niat hendak memperkasakan diri agar dapat berpuasa sebulan penuh kala Ramadhan nanti, juga tiada masalah. Namun jangan sesekali kita sebarkan hadith-hadith palsu berkenaan fadhilat Rajab.


Akhirnya, Sama-samalah kita Menjaga Hubungan dengan Allah SWT

Maka marilah kita perhatikan hubungan kita dengan Allah SWT.

Jangan kita ambil endah dengan kesihatan hubungan kita denganNya.

Pastikan ibadah kita terjaga, dan ilmu kita berkenaan agamaNya diperdalamkan. Sentiasalah bermuhasabah, dan melakukan pembaikan terhadap diri kita. Benda baik kita tambah-tambahkan dan jadikan darah daging, benda buruk kita kurang-kurangkan dan jauhi.

Ramadhan juga semakin hampir. Adalah perlu kita meningkatkan stamina keimanan kita, agar kita mampu menggempur Ramadhan dengan tenaga kita yang tertinggi, dan memungut pelbagai lagi hadiah yang Allah SWT taburkan buat kita di dalam bulan yang mulia tersebut.

Jangan lengah memperbaiki diri.Sampai ke Ramadhan pun belum tentu lagi.


Jangan tunggu !

No comments:

Post a Comment