Thursday 15 October 2015

Islam ibarat mengenggam bara api.


Di suatu zaman nanti, bahawasanya orang yang ingin mengajak kepada perkara yang baik dan mencegah kepada yang mungkar akan terancam, disebabkan perubahan zaman, disebabkan keadaan yang mengelirukan kepada orang ramai, sehingga berlaku kekeliruan, dan kecelaruan, didalam agama khususnya, sehingga orang tidak dapat membezakan yang mana yang haq dan mana yang bathil.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). (Surah al-Maidah : 105)

Rasulullah bersabda (1) :

بل ائتمروا بالمعروف ، وتناهوا عن المنكر

Teruskan kamu dalam mengajak orang lain kepada perkara baik, dan cegahlah orang lain daripada melakukan kemungkaran.

حتى إذا رأيت شحا مطاعا ،

Sehingga kalau kamu nampak seorang yang kedekut diikuti.

Orang kedekut yang diikuti maksudnya adalah, orang yang kedekut dengan hartanya, dan hatinya redha kalau dirinya kedekut. Disokong oleh orang lain sikap kedekutnya. Orang yang mempunyai kedudukan, yang kedudukannya boleh dimanfaatkan untuk membantu orang lain. Bila mana kedekut dengan kedudukannya untuk membantu orang lain, maka diikuti oleh pengikutnya, ini adalah bahagian orang yang disifatkan oleh Nabi SAW dirinya redha dengan sifat kedekutnya, selesa dengan sifat kedekutnya.

وهوى متبعا

Dan sehingga kamu melihat, kepada orang yang menjadikan hawa nafsunya imamnya, yang menjadikan hawa nafsunya ikutannya, yang menjadikan sifat rakusnya dipenuhi daripada apa keinginannya, dan kamu melihat yang kedua ini, adalah orang yang menjadikan hawa nafsu menjadi ikutan dalam segala hal, dalam jawatannya, dalam hartanya, dalam kedudukannya, dalam hal apa saja, yang mengikut kepada hawa nafsunya sendiri, dan menjadikan hawa nafsu adalah ikutan, dan ini adalah perkara yang amat merbahaya kepada orang yang menjadikan hawa nafsunya adalah ikutan kepadanya.

Bukankah dalam Al-Quranul Kareem Allah berfirman tentang orang yang berilmu, yang ada ilmu, akan tetapi boleh dikalahkan dengan hawa nafsunya kerna dahsyatnya hawa nafsu bila mana tidak diperhatikan oleh seseorang.

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar) (surah Al- Jaathiyah: 23)

Tidakkah kamu melihat kepada golongan orang yang menjadikan hawa nafsunya, adalah sebagai tuhan. (وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْم) dan disesatkan dalam keadaan dirinya menyedari, dalam keadaan dirinya mengetahui dan berilmu. Akan tetapi mudah terkalah dengan hawa nafsu.

Kata penyair  :

توق نفسك لا تأمن غوائلها ... فالنفس أخبث من سبعين شيطانا

Hati-hatilah kamu dengan perangai hawa nafsu kamu … sesungguhnya perangai hawa nafsu ini adalah lebih jahat, lebih buruk daripada 70 gangguan syaitan.

Demikian didalam Al-Quranul kareem Allah berfirman :

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ

Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan (surah Yusuf: 53)

Hawa nafsu adalah sentiasa menyuruh orang melakukan perkara buruk  dan perbuatan jahat. Tuduhlah perbuatan hawa nafsu didalam tuntutannya apa sahaja, walaupun hawa nafsu ini zahir nya menyantuni kepada yang baik, terlebih dahulu letakkan “tanda Tanya” kerna hawa nafsu sentiasa menyuruh kepada orang melakukan perbuatan yang buruk.

Bila mana mengkehendaki yang baik, tengok dulu apa matlamat daripada kehendak yang baik itu. Mungkin disebalik kebaikan untuk dipakaikan pakaian yang baik tapi hakikatnya adalah bathil, kerana daripada tipu muslihat syaitan memakaikan pakaian bathil dengan pakaian yang indah. Sehingga Nampak bathil saperti haq, Nampak perkara mungkar seperti maaruf. Nampak salah dipakaikan dengan pakaian yang benar.

Ini adalah kecenderungan hawa nafsu, mungkin ingin mendapatkan matlamat yang baik, caranya menipu, caranya berdusta, caranya berkhianat, bagaimana cara yang baik dicapai dengan cara yang tak baik, mustahil Allah SWT akan menjadikan matlamat yang baik boleh dicapai dengan cara yang tidak baik.

Setelah kamu melihat orang kedekut yang diikuti, dan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai imam, kemudian disabdakan Baginda SAW lagi :


ودنيا مؤثرة

Dan juga dunia, yang didahulukan berbanding agama. Kebendaan yang didahulukan daripada perkara-perkara yang baik dalam ajaran agama. Bila mana dunia didahulukan, bila mana kebendaan didahulukan. Bahkan dikorbankan agama untuk kebendaan. Inilah ciri-ciri yang disebutkan oleh Nabi SAW, supaya kita lebih fokus untuk menjaga diri kita sendiri.

Baginda SAW bersabda :

الدُّنيا ملعونَةٌ ملعونٌ ما فيها إلاّ ذكرَ الله وما والاَه، وعالمٍ أو مُتعلّمٍ

Dunia ini hakikatnya jauh daripada rahmat Allah, kecuali orang yang memanfaatkan didunia nya untuk berzikir kepada Allah SWT, atau orang yang berilmu, atau orang yang belajar mendapatkan ilmu. ( Riwayat At-Tirmizi )

Maka demikian itu sabda Rasulullah SAW dalam menyingkapi keduniaan tempat kita menanam dan bukan untuk kita berada di dunia untuk kekal selama-lamanya. Sifat yang ketiga disebut oleh Nabi SAW, untuk kita menjaga diri kita sendiri.

Lalu yang keempat adalah :

وإعجاب كل ذي رأي برأيه

Dan bila kamu Nampak orang yang bangga dengan pandangannya, bangga dengan ideologi-nya, bangga dengan kajiannya, bangga daripada buah pikirannya, tanpa ditimbang dengan Al-Quran dan AS-sunnah yang datang dengannya Baginda Rasulullah SAW. Yang susah berinteraksi dengan pandangan orang lain walaupun berselisih, yang menganggap dirinya benar berbandingkan kepada orang lain.

Bila mana melihat golongan seperti ini juga bangga dengan pandangannya sendiri. Adalah kriteria yang keempat disebutkan oleh Nabi SAW.

Bilamana perkara ini terjadi, orang kedekut diikuti, hawa nafsu yang diikuti, kemudian dunia yang didahulukan berbandingkan agama, orang yang bangga dengan pandangannya sendiri. Apa kata 

Baginda SAW :

  فَعَلَيْكَ نَفْسَكَ ، وَدَعْ عَنْكَ أَمْرَ الْعَوَامِّ

Hendaklah kamu jaga diri kamu sendiri, tinggalkan apa yang berlaku diluar sana.
Yang berlaku dengan orang yang kedekut dengan hartanya dan juga kedudukannya, yang mengikut kepada hawa nafsunya, yang mendahulukan kepada dunia berbanding kepada agama, yang bangga dengan pandangannya, biarkan mereka sibuk dengan urusan mereka sendiri.

Dan jagalah diri kamu sendiri dan juga orang yang rapat dengan kamu, keluarga kamu, anak-anak kamu, dan orang-orang yang ada hubungkait langsung dengan kamu. Jaga mereka.

فإن من ورائكم أيام الصبر الصبر فيه مثل قبض على الجمر للعامل فيهم مثل أجر خمسين رجلا يعملون مثل عمله وزادني غيره قال يا رسول الله أجر خمسين منهم قال أجر خمسين منكم
Sesungguhnya di belakangmu nanti akan ada hari-hari penuh kesabaran. Sabar pada hari itu seperti halnya memegang bara api. Orang yang beramal pada waktu itu akan diberi pahala seperti pahala lima puluh orang lain yang beramal seperti amalnya. Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, pahala lima puluh orang dari kalangan mereka ?”. Baginda sallallaahu ‘alaihi wa sallam menjawab : “Bahkan limapuluh orang di antara kalian”

Rasulullah SAW memberitahukan zaman demi zaman, bukan semakin akan tetapi akan semakin buruk dan semakin buruk, buruknya adalah mengancam kepada agama. Buruknya akan menggegarkan  tiang-tiang agama. Yang sehingga kata baginda SAW (مثل قبض على الجمر) orang yang berpegang kepada agama di akhir zaman umpama orang yang menahan dang memegang bara api di tangannya.
الله تعالى اعلم
________________________________________________________

(1)  Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam Khalqu Af’alil-‘Ibaad no. 155, Abu Dawud no. 4341, At-Tirmidzi no. 3058, Ibnu Majah no. 4014, Ath-Thabariy dalam Tafsir-nya 7/97, Ath-Thahawiy dalam Syarhul-Musykil no. 1171-1172, Ibnu Hibbaan no. 358, dan yang lainnya. Hadits ini dla’if, kecuali lafadh : “Sesungguhnya di belakangmu nanti akan ada hari-hari penuh kesabaran….” ; sahih. Lihat Dla’iif Ibni Majah hal. 326 no. 801, Silsilah Ash-Shahiihah 1/892-893 no. 494, dan Dla’if At-Tirmidzi hal. 320 no. 3058.


(2) rujukan : tafsir ibn kathir , syuruh hadis tuhfat al ahwazi.

1 comment: