Tuesday 9 July 2013

Kelebihan di Bulan Ramadhan.




بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

Kelebihan Bulan Ramadhan Dan Cara Menghayatinya

Bulan Ramadhan adalah berbeza dengan bulan-bulan yang lain kerana bulan Ramadhan ini mempunyai kelebihannya sendiri yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Oleh itu kita hendaklah menghayati bulan Ramadhan ini lebih istimewa dari bulan-bulan yang lain. Dalam tulisan ini akan disentuh beberapa pekara yang  sewajibnya dan yang sebaik-baiknya dilakukan dalam bulan yang mulia dan berkat ini.

Kelebihan bulan Ramadhan

Untuk mengetahui kelebihan bulan Ramadhan, bolehlah dilihat dari nas-nas berikut. Antaranya:

Firman Allah s.w.t.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ} [البقرة : 185

Bermaksud: Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan mengenai petunjuk, dan pemisah (antara yang hak dengan yang batil)

Nas di atas menunjukkan bahawa al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan yang memisahkan di antara haq dengan batil itu diturunkan dalam bulan Ramadhan.

Firman-Nya lagi:



{  إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ (4) [الدخان : 3 - 4]

Bermaksud: Bahawasanya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang berkat, bahawasanya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam yang berkat itu dijelaskan dan ditetapkan setiap perkara yang mempunyai hikmah.

Nas di atas menunjukkan bahawa al-Quran itu diturunkan pada malam yang berkat dan pada malam yang berkat itu dijelaskan dan ditetapkan setiap perkara. Malam yang berkat ialah laylah al-qadr kerana firman Allah:
{إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1)} [القدر : 1]

Bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya )al-Quran) pada laylah al-qadr.

Maksud, pada malam yang berkat itu dijelaskan dan ditetapkan setiap perkara, menurut Ibn kathir: Pada malam laylah al-qadr itu dijelaskan dari al-lawh al-mahfuz kepada malaikat akan perkara yang akan berlaku (bagi seseorang) dalam setahun, mengenai ajal, rezeki dan lain-lain. Inilah yang diriwayatkan daripada Ibn `Umar dan lain-lain dari kalangan salaf. (Ibn kathir 7: 246). Menurut `Izz al-Din Ibn Abd al-Salam: Pada malam itu ditulis rezeki, ajal, kebahagiaan dan kecelakaan (seseorang) dari setahun ke setahun. (Ibn Abd al-Salam t.t. 6: 13).

Apabila telah dijelaskan sebelum ini bahawa al-Quran itu diturunkan pada bulan Ramadhan maka malam yang berkat yang padanya dijelaskan dan ditetapkan setiap perkara adalah dalam bulan Ramadhan.

Firman-Nya lagi:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ 5   (القدر

Bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkannya )al-Quran) pada laylah al-qadr. Dan apa yang mengetahuikan engkau, apa itu laylah al-qadr?  Laylah al-qadr  adalah lebih baik dari seribu bulan. Turun para malaikat dan Jibril pada malam itu dengan izin dari Tuhan mereka, membawa segala perkara. Selamatlah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.

Nas di atas menunjukkan bahawa al-Quran itu diturunkan pada laylah al-qadr. laylah al-qadr adalah lebih baik dari seribu bulan (yang lainnya).  Pada malam itu malaikat  turun ke dunia membawa segala perkara, dan malam itu adalah malam yang selamat sejahtera sehingga terbit fajar. Maksud malaikat  turun ke dunia membawa segala perkara, menurut Ibn Abd al-Salam ialah perkara yang telah ditentukan pada malam itu dari rezeki, ajal (seeorang) dan yang lainnya.  (Ibn Abd al-Salam t.t. 8: 73). Menurut Ibrahim al-Qattan dalam Taysir al-Tafsir: Para malaikat dan jibril turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka berserta dengan berkat dan rahmat Allah. (Ibrahim al-Qattan t.t. 3: 443).

Telah dijelaskan bahawa al-Quran itu diturunkan pada bulan Ramadhan maka laylah al-qadr adalah pada bulan Ramadhan. 

Mengenai kelebihan bulan Ramadhan juga ialah:
عَنْ عَائِشَةَ 
قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ (صحيح البخاري )

Bermaksud: Daripada `Aisah r.a.`. katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. beri`tikaf di masjid pada 10 yang akhir dari bulan Ramadhan, dan bersabda: Berusaha sungguh-sungguhlah untuk mendapatkan laylah al-qadr pada 10 yang akhir dari bulan Ramadhan.
Nas yang lain:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
صحيح البخاري )-)

Bermaksud: Daripada `Aisah r.a.`. katanya: Bahawa Rasulullah bersabda: Berusaha sungguh-sungguhlah untuk mendapatkan laylah al-qad pada malam yang ganjil dari 10 yang akhir bulan Ramadhan.

Dua nas di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. beri`tikaf di masjid pada 10 yang akhir bulan Ramadan dan Baginda menyuruh umatnya supaya mendapatkan laylah al-qadr pada 10 yang akhir bulan Ramadhan khususnya pada malam yang ganjil.

Mengenai kelebihan bulan Ramadhan juga:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ
سنن النسائي بشرح السيوطي وحاشية السندي ، 434 :4

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Ramadhan telah datang kepada kamu, Ia merupakan bulan yang berkat, Allah A.W.J. memfardukan ke atas kamu puasa di bulan itu, dibuka padanya pintu-pintu langit, ditutup  padanya pintu-pintu neraka, dibelenggu pada syaitan-syaitan yang amat  jahat. Pada bulan Ramadhan itu terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang diharamkan kebaikannya maka sesungguhnya dia diharamkan.

Nas di atas menunjukkan bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan berkat, dibuka pintu-pintu  langit, ditutup pintu neraka, dibelenggu segala syaitan yang amat jahat, pada bulan ini terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu malam, sesiapa yang diharamkan mendapatkan  kebaikan malam itu maka dia diharamkan (dari mendapatkannya).

Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan orang yang mendapat kebaikan malam yang lebih baik dari 1000 malam, iaitu malam laylah al-qadr. Ya Allah berilah kami kebaikan laylah al-qadr, dan jadikanlah kami dari kalangan orang yang mendapatkannya.

Dalam nas yang lain Rasulullah bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
صحيح البخاري - (11 / 55)

Bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, ditutup  pintu-pintu neraka jahanam dan dibelenggu syaitan-syaitan.

Dalam riwayat lain:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ
صحيح مسلم - (5 / 337)

Dua nas di atas menunjukkan apabila masuk bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.

Dalam riwayat yang lain:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ وَابْنِ مَسْعُودٍ وَسَلْمَانَ
سنن الترمذى،   صحيح ابن حبان، 8: 222 ، صحيح ابن حزيمة 3: 188 ، المستدرك على الصحيحين للحاكيم مع التعليقات الذهبى فى التلحيص 1: 582))

Bermaksud: … Dan menyeru oleh (malaikat ) yang menyeru: Wahai orang yang suka kebaikan, Lakukanlah!, wahai orang yang sukakan kejahatan, kurangkanlah! Bagi Allah, ramai  orang yang dimerdekakan dari neraka. Yang demikian itu adalah setiap malam.

Di antara kandungan nas di atas ialah pada setiap malam Ramadhan Allah memerdekakan (melepaskan ramai orang) dari api neraka.

Di antara kelebihan Ramadhan juga ialah:

عن ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
صحيح البخاري - (6 / 470)

Bermaksud: Daripada Ibn `Abbas r.a.`.katanya: Adalah Nabi s.a.w. manusia yang paling  pemurah dengan kebaikan, dan  Baginda yang paling pemurah adalah dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya, dan adalah Jibril menemui baginda setiap malam pada bulan Ramadhan sehingga Ramadhan berlalu, Nabi membaca al-Quran kepada Jibril. Apabila Jibril `a.s. menemui Baginda, Baginda adalah lebih pemurah dari angin yang  bertiup kencang (dengan membawa hujan rahmat).

Di antara apa yang difahami dari nas di atas ialah Rasulullah amat pemurah dengan kebaikan dalam bulan Ramadhan, lebih pemurah dari bulan-bulan yang lain. Dan dalam bulan Ramadhan juga Rasulullah bertadarus al-Quran dengan Jibril.


Beberapa Kemenangan Besar

Di antara kemenangan-kemenangan besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan ialah peperangan Badr. Ibn kathir ketika menjelaskan firman Allah:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْر

Yang bermaksud: Dan sesungguhnya Allah telah memberi pertolongan kepada kamu pada peperangan Badr. Ia berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadhan, tahun kedua hijrah. (Ibn kathir 2: 111)

Pembukaan Makkah juga adalah berlaku dalam bulan Ramadhan.

وكان فتح مكة في رمضان
الموطأ - رواية محمد بن الحسن - (2 / 177)
صحيح ابن حبان - (9 / 261)

Bermaksud: Adalah Makkah dibuka pada bulan Ramadhan.

Dari apa yang telah dibentangkan ternyata bulan Ramadhan itu mempunyai banyak kelebihannya. Ia adalah merupakan bulan yang berkat, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu nereka dan dibelenggu syaitan yang amat jahat itu. Dalam bulan yang berkat ini diwajibkan berpuasa, diturunkan al-Quran yang menjadi panduan hidup kepada manusia. Dalam bulan yang berkat ini terdapat laylah al-qadr yang lebih baik dari 1,000 bulan yang lain. Dalam bulan yang berkat ini Rasulullah s.a.w. melebih banyakkan segala bentuk kebaikan dan pada malam bulan yang mulia ini Rasulullah bertadarus al-Quran bersama Jibril. Dari segi sejarahnya pula kemenangan-kemenangan besar berlaku dalam bulan Ramadhan seperti peperangan Badr dan pembukaan Makkah. Marilah sama-sama kita berusaha agar kita adalah dari kalangan orang yang mendapat kebaikan, kelebihan dan kejayaan dari bulan yang penuh berkat ini dan berdoa kepada Allah agar mengurniakannya kepada kita.


Doa ketika  berbuka adalah mustajab

عن عَبْدِ الله بْنِ عَمْروٍ ، رَضِيَ الله عَنْهُمَا , سَمِعْتُ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم يَقُولُ : لِلصَّائِمِ عِنْدَ إِفْطَارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَكَانَ عَبْدُ الله بْنُ عَمْروٍ إِذَا أَفْطَرَ دَعَا أَهْلَهُ وَوَلَدَهُ وَدَعَا.
رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ الطَّيَالِسِيُّ.
وَرَوَاهُ ابْنُ مَاجَةَ وَالْحَاكِمُ ، وَالْبَيْهَقِيُّ فِي الْكُبْرَى مِنْ طَرِيقِ ابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ عَنْ عَبْدِ الله بْنِ عَمْروٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَة مَا تُرَدُّ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ الله يَقُولُ عِنْدَ فِطْرِهِ : اللهمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي - زَادَ فِي رِوَايَةٍ : ذُنُوبِي لَفْظُ ابْنِ مَاجَةَ وَإِسْنَادُهُ صَحِيحٌ.
وَلَهُ شَاهِدٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ رَوَاهُ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ وَالْبَزَّارُ وَالتِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ ، وَابْنُ مَاجَةَ وَابْنُ خزيمَةَ , وابن حبان في صحيحيهما.
إتحاف الخيرة المهرة - (3 / 102)

Bermaksud: Daripada Abd Allah bin `Umrw r.a.`. aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bagi orang yang berpuasa ketika ia berbuka terdapat doa yang tidak ditolak/diperkenankan. Abd Allah bin `Amrw berdoa ketika beliau berbuka:

اللهمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي - زَادَ فِي رِوَايَةٍ : ذُنُوبِي

Bermaksud: Ya Allah! Bahawasanya aku bermohon kepada–Mu dengan rahmat-Mu yang Engkau luaskan kepada segala sesuatu, bahawa Engkau mengampuni  aku, dalam satu riwayat,  dosaku. (mengampuni dosaku).


Doa setelah berbuka puasa.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
سنن أبى داود – (6 / 309)

Bermaksud: Bahawasanya Nabi s.a.w. apabila Baginda telah berbuka berdoa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Ya Allah! Bagi-Mu aku berpuasa, dan di atas rezeki-Mu aku berbuka.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
سنن أبى داود – (6 / 308)

Bermaksud: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila Baginda telah berbuka berdoa:

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Hilang dahaga, basahlah peluh dan mendapat pahala   إِنْ شَاءَ اللَّهُ


Doa orang yang berpuasa tidak ditolak

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الْغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ
سنن الترمذى - (12 / 25)

Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: tiga (golongan manusia) tidak ditolak doa mereka. Orang yang puasa sehingga dia berbuka, imam (pemerintah) yang adil dan doa orang yang dizalimi, Allah mengangkat doanya ke atas awan Dan Allah buka untuknya pintu-pintu langit, dan Allah berkata: Aku akan tolong engkau walau setelah satu masa.

Di antara kandungan hadith di atas ialah doa orang yang berpuasa tidak ditolak. Oleh itu banyakkan berdoa kepada Allah semasa ketika kita berpuasa, khususnya dalam bulan Ramadhan yang berkat ini.  

Ya Allah! Terimalah sembahyang, puasa dan segala amal kebikan kami. Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan orang yang mendapat limpah kurniaan kebaikan-Mu pada bulan yang berkat ini, seterusnya pada bulan-bulan yang lainnya. Ampunilah dosa kami. Jadikanlah sembahyang,  puasa dan ibadah-ibadah yang lain serta amal-amal salih yang lainnya menjadikan kami sebagai orang yang bertakwa, melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu. 

Amin. Ya Rabb al-`alamin!.

No comments:

Post a Comment