Friday 7 September 2012

ular yang tidak taat !





Seorang pemain sarkas memasuki hutan untuk mencari anak ular yang akan dilatih bermain sarkas. Beberapa hari kemudian, ia termasuk beberapa anak ular dan mula melatihnya. Mula-mula anak ular itu dibelitkan pada kakinya. 

Setelah ular itu menjadi besar dilatih untuk melakukan permainan yang lebih berbahaya, di antaranya membelit tubuh pelatihnya. Sesudah berjaya melatih ular itu dengan baik, pemain sarkas itu mula mengadakan persembahan untuk umum. 

Hari demi hari jumlah penontonnya semakin banyak. Wang yang diterimanya semakin besar. Suatu hari, permainan akan bermula. Tarikan demi tarikan silih berganti. Semua penonton tidak putus-putus bertepuk tangan menyambut setiap pertunjukkan. Akhirnya, tibalah acara yang mendebarkan, iaitu permainan ular. 

Pemain sarkas memerintahkan ular itu untuk membelit tubuhnya. Seperti biasa, ular itu melakukan apa yang diperintahkan. Ia mula melilitkan tubuhnya sedikit demi sedikit pada tubuh tuannya. Makin lama makin keras lilitannya. Pemain sarkas kesakitan. Oleh kerana itu dia lalu memerintahkan agar ular itu melepaskan lilitannya, tetapi ia tidak taat. 

Sebaliknya ia semakin liar dan lilitannya semakin kuat. Para penonton menjadi panik, ketika jeritan yang sangat memilukan terdengar dari pemain sarkas itu, dan akhirnya ia terkulai mati. 

Renungan: "Kadang-kadang dosa kelihatan tidak membahayakan. Kita merasa tidak terganggu dan boleh mengendalikannya. Bahkan kita merasa bahawa kita sudah terlatih untuk mengatasinya. Tetapi pada kenyataanya, apabila dosa itu telah mulai melilit hidup kita, sukar dapat melepaskan diri lagi daripadanya. "


No comments:

Post a Comment